'Kerana rotan, saya jadi orang'
“SAYA pernah dirotan guru besar di khalayak ramai. Ketika itu saya tingkatan 4, lencana pengawas saya ditarik dan tangan saya dirotan empat kali hingga berdarah,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Itulah kenangan zaman kenakalan Mohamad sebagai pelajar di Sekolah Menengah Rantau, selepas ditanya tentang kenangan zaman persekolahannya dahulu.
Mohamad berkata dia dirotan Guru Besar, Hardial Singh atas kesalahan orang lain.
“Bukan saya yang buat salah tapi orang lain. Saya dituduh tapi saya tahu siapa yang buat cuma saya tak nak beritahu. Disebabkan rotan itulah saya menjadi orang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada Guru Besar itu kerana mendidiknya dengan penuh sabar sehingga menjadi orang berjaya kini.
“Walaupun pendidikan tidak tinggi dan bukan guru berijazah tetapi semangat dia kuat kerana mahu lihat semua pelajar Sekolah Menengah Rantau berjaya,” katanya.
Ketika ditanya siapa guru kesayangannya, Mohamad menjawab, isterinya, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
“Isteri saya seorang guru, dia tidak masuk universiti kerana saya suruh jadi cikgu. Sepatutnya dia masuk universiti bersama saya tapi I said no, you jadi cikgu and don’t worry I will marry you,” katanya berseloroh.
Mohamad berkata, isterinya seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Seri Puteri di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur, sejak tahun 1979 hingga 1987.
“Selepas mengajar beberapa tahun, isteri saya berhenti kerana perlu mengikut saya ke London dan pulang semula ke Malaysia pada 1992.
“Ketika itu sudah ada tiga orang anak dan isteri mahu menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.
Mohamad berkata, kerjaya seorang guru banyak menyumbang bakti kepada anak bangsa dan negara.
“Guru adalah hero yang tidak diraikan, Unsung Heroes. Tetapi guru janganlah berkecil hati kerana jasa mereka amat besar sejak dulu lagi.
“Kita berharap guru-guru berjiwa besar dan terus berbakti kepada tanah air dengan mendidik anak bangsa untuk membela negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment