Powered By Blogger

Tuesday 31 December 2013

Sumbangan Komputer kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran (KAFA)


Seremban, 19 Dis – Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyerahkan sumbangan pembelian komputer Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran (KAFA) dan Fardu Ain di Klana Resort, Seremban.
Sumbangan berjumlah RM261,000 itu diserahkan kepada 62 buah SAR dan 25 buah KAFA seluruh Negeri Sembilan. Peruntukan bagi setiap sekolah berjumlah RM3,000.
Di dalam ucapan, beliau menjelaskan bahawa terdapat permohonan komputer di beberapa buah SAR dan KAFA, dan Kerajaan Negeri melalui MAINS yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengambil ketetapan bahawa kesejahteraan dan pendidikan agama Islam negeri ini sama penting dengan pembangunan yang giat membangun.
Di sebabkan oleh itu, penyerahan sumbangan pembelian komputer ini diserahkan kepada semua sekolah untuk memudahkan guru-guru melaksanakan tugas dengan lebih efisien lagi.
Beliau turut menyeru kepada tenaga pengajar di SAR dan KAFA untuk mempertingkatkan prestasi pelajaran anak-anak pada keputusan yang masih dikategorikan amat lemah, kerana tidak mahu kelemahan ini memberi kesan kepada keputusan peperiksaan.
Sambil mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri tidak sesekali akan menutup SAR dan KAFA kerana kewujudannya telah memberi kesan baik kepada sahsiah anak-anak yang meningkat dewasa.

Turut hadir, Setiausaha MAINS, Encik Kamal Amran Kamaruddin, Pemangku Pengarah JHEAINS, Tuan Hj Abdullah Paigo, Timbalan Pengerusi MAINS, Dato’ Razak Mansor.

Anugerah Empat Bintang


SEREMBAN 30 Dis. – Pengurusan kewangan yang berhemah kerajaan negeri telah membawa pengiktirafan daripada Jabatan Audit Negara melalui Anugerah Empat Bintang bagi Indeks Akauntabiliti 2012 yang diterima pada tahun ini.
Keputusan itu diperoleh melalui agensi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kehakiman Syarie negeri, Majlis Daerah Rembau dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).
Perkembangan ini memberikan gambaran betapa pengurusan yang cekap yang mana dalam tahun berakhir 31 Disember 2012, kedudukan Akaun Hasil Disatukan Negeri telah meningkat sebanyak RM21.96 juta kepada RM228.45 juta.
Malah, sehingga 13 Disember tahun ini, jumlah Akaun Hasil Disatukan Negeri atau rizab semasa kerajaan negeri adalah berjumlah RM483.85 juta.
Berdasarkan keupayaan itu, kerajaan negeri akan terus mengekalkan sumber utamanya iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil, yang mana pada tahun 2014, dijangka kutipan yang diperoleh itu adalah sebanyak RM352.626 juta, RM152.519 juta (hasil cukai), RM126.505 juta (hasil bukan cukai) manakala RM73.602 juta (terimaan bukan hasil).
Angka ini diperakui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) yang mana sebahagian besar hasil cukai diperoleh melalui cukai tanah dengan anggaran pada tahun 2014, kerajaan akan memperoleh RM144.833 juta.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan secara puratanya berjaya mengutip lebih daripada 90 peratus cukai tanah.
“Ini berdasarkan kutipan dari tempoh Januari hingga November tahun ini, kerajaan negeri berjaya mengutip RM106.1 juta iaitu kira-kira 89.9 peratus daripada anggaran 2013. Angka ini terus meningkat pada penutupan akaun 31 Disember ini,” katanya.
Maka di atas sikap tanggungjawab rakyat dan syarikat swasta di negeri ini dalam melaksanakan cukai tanah amat dihargai kerajaan negeri, seiring dengan apa yang diperkatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak – “pembayaran cukai adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dan mereka yang telah membayar cukai adalah rakyat yang bertanggungjawab dan mempunyai semangat patriotik serta taat setia kepada negara.”
Dalam pada itu juga, bagi memastikan pengurusan kewangan yang baik dan teguh pada tahun hadapan, kerajaan dilihat dapat meningkatkan hasil bukan cukai sebanyak RM38.347 juta atau 43.5 peratus kepada RM126.505 juta.
Kata Mohamad lagi, sebahagian besar terimaan bukan cukai ini disumbangkan oleh terimaan premium tanah yang setakat ini sering melepasi sasaran yang ditetapkan setiap tahun.
“Dalam tempoh Januari hingga November tahun ini, terimaan premium tanah adalah berjumlah RM78.674 juta dan terimaan ini melebihi anggaran belanjawan 2013 iaitu RM22.480 juta.
“Ini bermakna kerajaan negeri telah berjaya mencatatkan lebihan kutipan sebanyak RM56.194 juta atau 250 peratus lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan 2013. Kita menjangkakan dalam penutupan akaun 31 Disember ini, angka itu juga akan meningkat,” tegasnya.
Tambah Mohamad, peningkatan premium tanah pada setiap tahun jelas membuktikan proses pindah milik, pemberi milikan dan pertukaran syarat tanah yang efektif.
“Kesannya boleh dilihat pada tahun ini yang mana pembangunan yang rancak telah berlaku di negeri ini dalam pelbagai sektor dan paling pantas ialah perumahan dan komersial,” katanya.
Bagi terimaan bukan hasil pula, untuk tahun hadapan, dianggarkan berjumlah RM73.602 yang mana antara sumbernya adalah daripada pemberian kerajaan pusat.
Apa pun kata Mohamad, adalah tidak benar mengatakan negeri ini bankrap ataupun dicemuh sebagai gagal menguruskan kewangan dengan baik.
“Tohmahan yang dibuat hanya untuk memburukkan kerajaan negeri yang terbukti berjaya menguruskan kewangan dengan baik, sekali gus dapat mensejahterakan rakyat, malah keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) bertambah kukuh,” tegasnya.

Friday 20 December 2013

Kelompok Tiga Terbaik



Seremban, 19 Dis. – “Syabas dan tahniah kepada para guru, pelajar-pelajar PMR 2013 dan ibu bapa kepada anak-anak calon PMR 2013 berikutan keputusan yang diperolehi amat cemerlang tahun ini.”
Berbanding tahun lalu, Negeri Sembilan mengungguli lima tempat terbaik seluruh negara, namun keputusan tahun ini memperlihatkan PMR 2013 Negeri Sembilan berada pada kelompok tiga terbaik dalam masa sama dapat bersaing diperingkat kebangsaan.” ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di sidang media ringkas di Klana Resort, hari ini.
Beliau turut berpuas hati dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 2.5 (2013) berbanding GPN tahun lalu iaitu 2.65 (2012).
Keputusan ini turut membanggakan beliau sebagai Pengerusi MAINS di mana daripada 15 buah sekolah terbaik, enam daripadanya hadir dari Sekolah Menengah Agama (SMA) yang semakin cemerlang saban tahun.
Melalui keputusan yang diperolehi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, turut menyakinkan ibu bapa menjadikan pilihan menghantar anak-anak ke SMA negeri ini.
Dalam perkembangan sama, beliau juga berpuas hati dengan jurang keputusan di antara pelajar luar bandar dan bandar  yang semakin mengecil, malah membuktikan bahawa hasrat Kerajaan Negeri mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri lembah ilmu bakal dizahirkan.
Keputusan pelajar luar bandar yang memperoleh semua ‘A’ pada PMR 2013 ialah 11.7% berbanding 10.3%  tahun lalu (2012).
Manakala di bandar yang memperoleh semua ‘A’ pada PMR 2013 ialah 6.5% berbanding 5.4% tahun lalu (2012).

"Come Back" - Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS)


Seremban, 18 Dis. – Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan komited dan fokus mengembalikan maruah pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan ke persada tertinggi selepas mengharungi musim sukar di tahun 2013.
Selaku Presiden PBNS dan Pengurus Pasukan 2014, beliau akan melonjakkan semula prestasi pasukan NS ke Liga Super 2015.
Pasukan negeri yang sebelum ini mempamerkan prestasi cemerlang beberapa tahun terdahulu, akan membuat ‘come back’ dengan fokus memburu tempat Johan atau Naib Johan Liga Perdana 2014. Malah beliau mahu pasukan meraih kemenangan Piala FA dan Piala Malaysia 2014.
Ujar beliau, pemilihan import kali ini amat dititikberatkan, pemain senior yang tidak menunjukkan persembahan cemerlang digugurkan, dan PBNS menyerapkan pemain Piala Presiden untuk bergandingan bersama pemain senior yang kekal.
Beliau yang ditemuramah wartawan selepas sesi pengenalan pemain di Klana Resort, Seremban, berharap semua pegawai dan pemain melaksanakan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan milik pasukan NS musim depan.
Senarai pegawai dan pemain pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan 2014
Pengurus Pasukan : YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan
Penolong Pengurus : Dato’ Haji Abd. Halim Haji Latif, Dato’ Ab. Ghani Hj Hasan dan Dato’ Hj Mohammed Najeeb Abdullah.
Ketua Jurulatih :  V. Sundram Moorthy
Penolong Ketua Jurulatih :  Ridzuan Abu Shah
Penolong Jurulatih : Ahmad Osman
Jurulatih Penjaga Gol : Mohd Yazid Mohd Yassin
Jurulatih Kecergasan : K. Balagumaran
Doktor Pasukan : Dr. Rozaiman Ebrahim
Pegawai Media : Abd Malek Hassan
Fisioterapi : Zulkepli Abu Samah
Pembantu Pasukan : Sharizal Mat Sah
Pegawai Keselamatan : Anuar bin Abd Rahman
Senarai nama pemain :
Penyerang : Mohd Firdaus Azizul, Mohd Shoufiq Mohd Kusaini, Josef Kaplan (import-Czechoslovakia), Effa Owona-Jean Emmanuel (import-Cameroon)
Penjaga Gol : Badrulzaman Abd. Halim (Utama), Mohd Kaharuddin Abd Rahman dan Mohamad Yatim Abdullah
Pertahanan Tengah : Fauzi Nan, Jean Marc Alexandre (import – Haiti), Mohd Radzuan Abdullah dan Kim Ji Ryong (import-Korea).
Pertahanan Kanan : Muszaki Abu Bakar, Mohd Nizam Bakar, Mohd Alif Samsudin.
Pertahanan Kiri : Sumardi Hajalan, Mohd Dzaiddin Zainuddin, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Zulfaizham Kamis.
Pemain Tengah : Norhafiz Zamani Misbah (Kapten), Abdul Halim Zainal, Sivanesan a/l Shanmugam, Nanthakumar a/l Kalliappan, Sivakumar a/l M. Munusamy.
Sayap Kiri : Kavichlvan a/l Vivakandathan
Sayap Kanan : Eddy Helmi Manan, Puaneswaran a/l Gunasekaran

Wednesday 18 December 2013

Belanjawan NS 2014 Diluluskan



Seremban, 17 Dis. – 22 wakil rakyat Barisan Nasional di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2014) yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berjumlah RM352.626 juta.
Sidang dewan juga menyokong usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan 2014 berjumlah RM91.541 juta.
Manakala wakil rakyat PR mengambil ketetapan berkecuali tanpa menyokong atau tidak menyokong.
Merujuk kepada persetujuan dan sokongan persidangan, Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2014) akan dibincang secara Ahlijawatankuasa dan diuruskan secara berfasa-fasa.
Menteri Besar juga ADUN Kawasan Rantau (BN), di dalam sesi pergulungan selepas perbahasan melibatkan semua wakil rakyat di persidangan kali ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat yang bersidang dalam suasana harmoni.
Malah tidak berlaku perkara yang tidak diingini walaupun beberapa cadangan yang dikemukan mendapat bantahan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR).
Beliau di dalam ucapan pergulungannya juga menasihatkan wakil rakyat PR agar mengkaji dan meneliti sebaiknya belanjawan yang merujuk kepada aspirasi rakyat ini dan kejayaan melaksanakan belanjawan berimbang sejak 2009 telah menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri berdaya saing.
Di samping hutang kurang berbanding negeri yang dikatakan maju.
Di dalam perbahasan, cadangan popular seperti menaikkan elaun wakil rakyat berdepan dengan tanggungjawab berat ketika ini turut mendapat perhatian beliau.
Ujarnya, “sejak 15 tahun lalu, tidak ada usul kenaikan elaun di Negeri Sembilan. Walaupun kenaikan elaun ini perlu dan dalam keadaan sekarang tanggungjawab dan bebenan tugas wakil rakyat amat berat dan mencabar, namun perkara ini perlu diteliti dan dikaji.
Kita tidak mahu, elaun wakil rakyat dinaikkan, namun tidak meresapi masalah dan beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini. Kos sara hidup semakin tinggi bukan disebabkan kerajaan menaikkan sesuka hati, tetapi perlu mengambil kira perkembangan ekonomi global dan aktiviti ekonomi.” ujar beliau.
“wakil rakyat perlu berkorbanlah untuk rakyat.. kita tidak mahu bila elaun wakil rakyat dinaikkan, kemudiannya rakyat menanggung sakit. Kerajaan Negeri, mahupun Kerajaan Persekutuan sememangnya prihatin terhadap permasalahan rakyat. Ada masanya, yang tersirat tidak perlu kita zahirkan dalam bentuk tersurat.” ujar beliau lagi.

Sunday 15 December 2013

JKMNS, MAINS dan JAKOA Beri Bantuan RM9,622,630 Sebulan


Seremban, 13 Dis. – Sehingga Oktober 2013, seramai 35,604 orang telah berjaya diberi bantuan melalui tiga (3) agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Di mana melalui agensi JKMNS, seramai 27,920 orang telah menerima bantuan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM6,892,130.00, manakala melalui  MAINS pula berjumlah RM1,160,800.00 kepada 5,483 orang penerima. Kerajaan Negeri juga tidak meminggirkan orang asli di mana peruntukan berjumlah RM1,569,700 kepada 2,201 orang menerima bantuan ini setiap bulan.
Peruntukan keseluruhan berjumlah RM9,622,630.00.
Berikut merupakan jawapan lisan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan (BN-Rantau) menjawab soalan dari  Tuan Veerapan a/l Superamaniam (DAP-Repah).

Friday 13 December 2013

MAINS Kerjasama USIM Realisasikan Universiti Islam Malaysia


Seremban, 10 Disember 2013 – Kerjasama antara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kerajaan Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam perlaksanaan bagi mewujudkan Universiti Islam Malaysia bakal direalisasikan setelah mendapat perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja seluruh negeri.
Hal ini dimaklumkan oleh Pengerusi MAINS, YAB Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang ke-222 di Wisma Negeri.
Menurut beliau, universiti yang akan dibina merupakan adaptasi daripada Kolej Islam Malaya sewaktu dahulu.
“Hasrat menubuhkan Universiti Islam Malaysia ini selaras dengan kehendak Perdana Menteri yang mana baru-baru ini sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lalu, menjadikan syiar Islam dimartabatkan dengan aktiviti-aktiviti sebegini,” jelasnya.
Pembentangan usul dalam perlaksanaan Universiti Islam Malaysia telah dihadiri Setiausaha MAINS, En. Kamal Amran Kamarudin, Pengerusi Universiti Islam Malaysia, Tan Sri Dato’ Yusof Noor, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr Asma Ismail serta barisan pegawai kerajaan yang lain.
Tambah beliau, tapak pembinaan Universiti tersebut telah dikenal pasti di Cyberjaya yang berkeluasan 100 ekar. Universiti itu juga bakal menawarkan Sarjana dan PHD bagi semua subjek.

Thursday 12 December 2013

Syarikat Swasta Dan Kerajaan Bekerjasama Pelihara Sungai


PORT DICKSON, 9 Dis – Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak khususnya dari syarikat-syarikat swasta dalam memastikan alam terpelihara terutamanya dalam menjaga kepentingan penyelenggaraan, menaik-taraf serta memelihara sungai di negeri ini.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyeru kepada pihak swasta agar mengambil inisiatif dan tanggungjawab dalam segala kegiatan industri yang dijalankan khususnya penjagaan sungai yang menjadi kepentingan utama dalam kehidupan kita.
“Jika kita ambil lewa dan tidak peduli dengan pencemaran sungai, kejadian seperti banjir kilat tidak mustahil akan berlaku disebabkan sikap kita yang tidak ambil peduli dengan alam sekitar,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Perasmian Pintu Kawalan Pasang Surut ’Gate J’ di  Tapak Pintu Kawalan Pasang Surut, Kg. Chuah, dekat sini.
“Justeru, kerjasama swasta seperti apa yang kita lihat hari ini, amat kita alu-alukan kerana pihak swasta juga memerlukan sebuah negara yang aman dan sebuah tempat yang boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang kesulitan seperti banjir dan sebagainya,” tambahnya.

Monday 9 December 2013

Generasi Muda & Alam Cyber


Kuala Lumpur, 05 Dis. – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menghargai jasa dan pengorbanan jentera UMNO/BN di PRU13 yang lalu.

Beliau ketika berucap di Majlis Makan Malam Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 melafazkan syukur, kerana kerja keras semua jentera, BN Negeri Sembilan kembali menjadi kerajaan.

Tidak seperti andaian setengah pihak yang mengatakan UMNO/BN negeri ini akan rebah di bawah kepimpinan beliau, ternyata meleset apabila menang majoriti mudah.

Beliau seterusnya menyarankan agar PDM PRU13 dikekalkan sehingga berhadapan PRU14 yang dikategorikan PRU amat getir, di tambah berhadapan dengan dunia global tanpa sempadan.

Fokus kini perlu terarah kepada generasi muda dan pegawai bersara yang tidak cenderung kepada UMNO/BN.

Ujar beliau, UMNO NS akan memulakan gerak kerja secara sepenuh masa mulai tahun hadapan yang merangkumi pelbagai sudut. Bidang kepakaran berperang di alam cyber misalnya akan menjadi elemen penting mendekati generasi muda yang berada di dalamnya.

Generasi muda di media maya amat terdedah dengan perkara tidak betul dan fitnah, dan jika perkara ini tidak dipantau, mereka akan semakin jauh dari kebenaran.

“Melayu akan terus memartabatkan Melayu, agama dan tanahair.” ujar beliau.
Hadir di majlis keluarga UMNO Negeri Sembilan, Vateran UMNO, Dato’ Siti Rahmah Kasim dan Dato’ Yazid Baba, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Hj Mat Ali Hasan. Pengerusi Pemantau Pemilihan UMNO Negeri Sembilan, Dato’ Khalid Yunus.

Turut sama, isteri Menteri Besar, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan, Puan Zuliana Mohd Ridzuan dan barisan jawatankuasa, Ketua UMNO Bahagian-Bahagian, perwakilan UMNO Negeri Sembilan di Persidangan Agung UMNO  2013.

Monday 2 December 2013

‘Apa salahnya saya bantu PM’



IPOH 01 Dis. - Pendakwah bebas, Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim kesal apabila pelantikannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima kecaman pelabagai pihak

MOHAMMAD Kazim Elias Al-Hafiz (berdiri depan, tiga dari kiri) bersama Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (berdiri depan, empat dari kiri) bersama peserta program pada Majlis Penutup Program Kem Tahsin di Ipoh, Perak, semalam. – MINGGUAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Menurutnya, kecaman yang dilakukan menerusi media sosial termasuk Facebook itu sememangnya sudah dijangka.
“Penerimaan dan komen negatif ini saya sudah biasa terima dan reaksi seperti ini sememangnya telah dijangka. Bagaimanapun, mereka terlalu cepat (menghentam) tanpa mendengar penjelasan saya. Sepatutnya mereka lebih bertoleransi dan berhemah.
“Tohmahan mereka ini menggambarkan sikap mereka dan ini tidak baik. Alangkah bagusnya jika memandang kepada kebaikan. Saya berlapang dada. Jika Perdana Menteri minta tolong untuk meningkatkan martabat Islam, apa salahnya saya bantu. Sesiapa sahaja yang minta nasihat juga akan saya bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Kem Tahsin di sini hari ini.
Berikut petikan kenyataan Mohammad Kazim dalam Facebook beliau bagi menjawab tohmahan yang dilemparkan berikutan pelantikannya:
“Subhanallah, saya pun terkejut saya dilantik, belum apa-apa dah kena maki…Alhamdulillah, salah ke kalau orang lain minta nasihat? Saya ni sentiasa berlapang dada, janganlah tuduh tanpa melihat secara halus…Apa yang kita sangka tentang orang lain kadang-kadang itulah dalam jiwa kita. Berhati-hatilah dalam berbicara. Apa tuan-tuan ingat saya kemaruk wang, kuasa pangkat? Apa salahnya doakan yang terbaik, bila tak ada orang agama dikatakan teruk bila orang agama dijemput pun dikatakan teruk, saya tak faham. Dalam hal ini sepatutnya bagi pandangan dan nasihat bukan maki-hamun fitnah dan cacian.
Bab lantikan MT UMNO ni, baru sangat saya dijemput diminta bantu apa yang patut untuk Islam…itu pun menjadi masalah, jadi isu? Saya ada prinsip saya, tak pernah dengar ceramah saya tapi nak komen lebih-lebih. Esok saya akan dapatkan apa bentuk lantikan yang diberi pada saya dan saya juga kena jaga banyak perkara daripada keluarga, sekolah, kuliah-kuliah saya, anak murid saya, pengikut kuliah saya dan lain-lain.
Bagi anda yang betul ikhlas dalam memperjuangkan Islam boleh dengar apa saya cakap selepas saya berbincang seperti saya sebutkan tadi.
Semoga Allah merahmati kita semua, terima kasih atas kata-kata yang sangat manis dalam komen anda sebelum ini. Janganlah menilai hati orang, kita tak tahu apa dalam hati orang, Allah yang menilai bukan kita. Wassalam.