Powered By Blogger

Wednesday 18 December 2013

Belanjawan NS 2014 Diluluskan



Seremban, 17 Dis. – 22 wakil rakyat Barisan Nasional di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2014) yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berjumlah RM352.626 juta.
Sidang dewan juga menyokong usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan 2014 berjumlah RM91.541 juta.
Manakala wakil rakyat PR mengambil ketetapan berkecuali tanpa menyokong atau tidak menyokong.
Merujuk kepada persetujuan dan sokongan persidangan, Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2014) akan dibincang secara Ahlijawatankuasa dan diuruskan secara berfasa-fasa.
Menteri Besar juga ADUN Kawasan Rantau (BN), di dalam sesi pergulungan selepas perbahasan melibatkan semua wakil rakyat di persidangan kali ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat yang bersidang dalam suasana harmoni.
Malah tidak berlaku perkara yang tidak diingini walaupun beberapa cadangan yang dikemukan mendapat bantahan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR).
Beliau di dalam ucapan pergulungannya juga menasihatkan wakil rakyat PR agar mengkaji dan meneliti sebaiknya belanjawan yang merujuk kepada aspirasi rakyat ini dan kejayaan melaksanakan belanjawan berimbang sejak 2009 telah menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri berdaya saing.
Di samping hutang kurang berbanding negeri yang dikatakan maju.
Di dalam perbahasan, cadangan popular seperti menaikkan elaun wakil rakyat berdepan dengan tanggungjawab berat ketika ini turut mendapat perhatian beliau.
Ujarnya, “sejak 15 tahun lalu, tidak ada usul kenaikan elaun di Negeri Sembilan. Walaupun kenaikan elaun ini perlu dan dalam keadaan sekarang tanggungjawab dan bebenan tugas wakil rakyat amat berat dan mencabar, namun perkara ini perlu diteliti dan dikaji.
Kita tidak mahu, elaun wakil rakyat dinaikkan, namun tidak meresapi masalah dan beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini. Kos sara hidup semakin tinggi bukan disebabkan kerajaan menaikkan sesuka hati, tetapi perlu mengambil kira perkembangan ekonomi global dan aktiviti ekonomi.” ujar beliau.
“wakil rakyat perlu berkorbanlah untuk rakyat.. kita tidak mahu bila elaun wakil rakyat dinaikkan, kemudiannya rakyat menanggung sakit. Kerajaan Negeri, mahupun Kerajaan Persekutuan sememangnya prihatin terhadap permasalahan rakyat. Ada masanya, yang tersirat tidak perlu kita zahirkan dalam bentuk tersurat.” ujar beliau lagi.

No comments:

Post a Comment