SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dilantik sebagai Canselor Universiti As-Sofa (UAS).

Watikah pelantikan itu dipersembahkan oleh Pengerusi Majlis Universiti Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki kepada Tuanku Muhriz dalam satu majlis ringkas di Istana Hinggap, di sini.

Naib Canselor UAS Dr Yusri Mohamad berkata pelantikan itu memberi kuasa kepada Tuanku Muhriz untuk mempengerusikan Konvokesyen UAS di samping melaksanakan apa-apa kewajipan lain sepertimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan universiti tersebut.

Katanya UAS dibangunkan oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan ia ditubuhkan melalui Syarikat Gerbang As Sofa Sdn Bhd.

"Majlis pelancaran universiti itu akan disempurnakan oleh Tuanku Muhriz di Dataran Sentral di sini pada 7 April ini," katanya.-