Powered By Blogger

Thursday 5 April 2012

Ahli Majlis PBT 'lesu' dinasihat letak jawatan


SEREMBAN 3 April - Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan yang tidak mampu memberikan perkhidmatan dan tidak hadir dalam mesyuarat dinasihatkan supaya meletakkan jawatan.

Ini ditegaskan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan menyatakan, adalah tidak adil jika Ahli Majlis sekadar ada nama tetapi tidak memainkan peranan membantu rakyat dan melihat keperluan mereka untuk disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan yang diwakilinya.

"Pelantikan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan bukan dibuat suka-suka atau hanya untuk memenuhkan kuota.

"Apa yang dibuat ini adalah satu penghormatan kepada individu kerana Ahli Majlis mempunyai tanggungjawab yang besar mewakili masyarakat dan kaum selain memanjangkan perkhidmatan yang disalurkan pihak berkuasa tempatan," katanya di Nilai, dekat sini, hari ini.

Mohamad ditemui pemberita selepas merasmikan majlis anugerah khidmat cemerlang Majlis Perbandaran Nilai (MPN) di Nilai, . Hadir sama, Yang Dipertua MPN, Datuk Abd. Halim Abd. Latif.

Katanya, beliau selalu melihat daftar kehadiran Ahli Majlis di dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan MPN.

"Ada Ahli Majlis yang dilantik itu, tidak pernah datang mesyuarat langsung. Kalau begitu apa guna jadi Ahli Majlis, jika sekadar ada pada nama.

"Jika begini sikapnya, eloklah letak jawatan daripada terus membuang masa. Kalau boleh tempat mereka kita isikan dengan individu yang mahu memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Mohamad berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan Ahli Majlis yang bersikap demikian tetapi baginya, jika tidak hadir mesyuarat, itu tanda orang yang tidak berminat memegang jawatan berkenaan.

No comments:

Post a Comment