Powered By Blogger

Thursday 5 April 2012

RM4 juta jayakan Dasar Pencahayaan DiNegeri Sembilan


SEREMBAN 4 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta tahun ini untuk menjayakan Dasar Pencahayaan Fasa Kedua, Peringkat Pertama yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, dasar itu dibuat selepas pihaknya meneliti beberapa cadangan dan pandangan dikemukakan oleh orang ramai melalui 'Sesi Mendengar' yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, berdasarkan kepada dasar sama sebelum ini pihaknya mendapati maklum balas daripada orang ramai cukup menggalakkan dan mahu supaya ia diperluaskan di kawasan persekitaran mereka.

"Apa yang dapat kita lihat dasar ini telah menunjukkan impak yang besar yang mana beberapa jalan di laluan Seremban-Kuala Pilah, Seremban-Jelebu dan sekitar Bahau telah dipasang lampu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sama seperti projek terdahulu, Mohamad menjelaskan keutamaan akan diberikan di persimpangan tiada lampu, kawasan Felda, taman perumahan, lorong belakang dan lokasi yang sering berlaku kemalangan jalan raya.

"Bagi menjayakan dasar ini kita telah memanggil beberapa pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti laluan mana yang memerlukannya," katanya.

Mohamad menjelaskan, pemasangan lampu di kawasan tersebut adalah penting bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Kita tidak mahu jalan-jalan utama di kawasan luar bandar terus gelap dan banyak kemalangan berlaku disebabkan orang dari luar menggunakan laluan tersebut.

"Kadang-kadang mereka yang menggunakan jalan raya tersebut kemalangan kerana tidak dapat melihat dengan jelas ketika memandu dan saya fikir pemasangan lampu berkenaan perlu dijalankan," katanya

No comments:

Post a Comment