Powered By Blogger

Thursday 14 June 2012

Universiti As Sofa N9 Laksana Wasattiyyah


SEREMBAN 5 April - Kejayaan Universiti As-Sofa (UAS) yang akan dimasyhurkan penubuhannya di sini(DI Seremban Sentral),  akan dipacu dengan pelaksanaan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan oleh universiti swasta terbaru itu.

Pengerusi Majlis Universiti yang juga Pengasas Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki berkata, konsep itu juga bertepatan dengan fahaman ahli sunah yang menjadi pegangan universiti tersebut.

Beliau berkata, konsep wasatiyyah menjadi pilihan kerana sifat dan sikap sederhana adalah tonggak kejayaan serta mampu menolak ekstremisme.


"UAS berhasrat menjadi pelengkap kepada universiti yang ada di negara ini dan kita tidak berhasrat untuk menjadi pesaing kepada mana-mana universiti,"

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Mohamed Radzif Datuk Mohamed Shamsudin dan Pengarah Gerbang As Sofa Sdn. Bhd., Malizan Mahmood.


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor UAS dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.


Menurut Muhammad Fuad, sebanyak 15 ulama terkemuka dari seluruh dunia telah mengesahkan kehadiran pada majlis tersebut antaranya dari Emiriyah Arab Bersatu, Abu Dhabi, Yaman, Lebanon dan Maghribi.

Beliau menyifatkan penubuhan UAS akan memberi impak yang sangat besar kepada dunia Islam berdasarkan maklum balas yang diberikan sarjana terkemuka di dunia yang gembira dengan kewujudan universiti tersebut.

"Kami percaya penubuhan UAS mampu menarik kedatangan para sarjana dunia Islam ke negara ini sekali gus menjayakan usaha negeri ini menjadi lembah ilmu seperti yang dicita-citakan.


"Dengan kedatangan para sarjana itu, negara ini juga akan menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh pelosok dunia yang mahu menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang," katanya.



No comments:

Post a Comment