Powered By Blogger

Tuesday 12 June 2012

Bekalan air bersih dipertingkatkan seluruh Negeri Sembilan


SEREMBAN 23 Mei 2012- Kerajaan negeri tidak akan menutup Loji Rawatan Air di Sungai Linggi dekat Port Dickson sebaliknya mengurangkan pengeluaran air terawat di situ selepas Loji Rawatan Air Sawah Raja dirasmikan pada 15 Julai 2010 lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, loji rawatan air di Sawah Raja, dekat Port Dickson itu kini mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 15 juta gelen sehari iaitu 50 peratus keperluan penduduk di sekitar daerah peranginan tersebut.

"Loji Rawatan Air Sungai Linggi boleh mengeluarkan air terawat sebanyak 20 juta gelen sehari, bagaimanapun kos rawatannya kini terlalu tinggi dan cara yang digunakan masih konvensional," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kata Mohamad, loji di Sungai Linggi itu menggunakan kaedah tapisan yang mana banyak bahan kimia digunakan kerana air dari Sungai Linggi terus memasuki kawasan loji sebelum ia dirawat dan disalurkan kepada penduduk.
"Dulu dari loji inilah seluruh daerah Port Dickson mendapat bekalan air. Tetapi kini dengan adanya loji di Sawah Raja, kos pengeluaran itu dapat dikurangkan," katanya.

Menurut Mohamad, loji di Sungai Linggi itu kini membekalkan air terawat kepada penduduk di kawasan Port Dickson utara iaitu Springhill, Lukut, Tanah Merah dan bandar peranginan sehingga Batu 4 manakala loji Sawah Raja pula membekalkan air ke kawasan dari Batu 4, Sungai Raya dan Linggi.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang meneliti untuk membina sebuah lagi loji di Sawah Raja yang boleh menyumbang sebanyak 15 juta gelen air sehari ke kawasan Port Dickson.

Tambah beliau, loji di Sungai Linggi pula akan kekal dan menjadi sokongan pada bila-bila masa jika berlaku krisis air di Port Dickson.

Mengenai loji di Ngoi-Ngoi dekat sini, Mohamad memberitahu, paip telah disambung dari Mendum, Lenggeng, Nilai dan Bandar Enstek dengan keluasan diameter 1.75 meter sebelum ia diteruskan dari Enstek, Sendayan dan Seremban untuk menampung keperluan penduduk di situ.

"Loji di Ngoi-Ngoi ini menerima air dari Empangan Kenaboi untuk disalurkan kepada penduduk daerah Seremban dan apabila siap kelak, ia juga akan dibina paip sambungan untuk sampai ke Lukut dan Springhil di Port Dickson.
"Projek ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan di loji Sungai Linggi," katanya.

Mohamad menambah, loji di Ngoi-Ngoi boleh menghasilkan air terawat daripada 55 juta gelen kepada 60 juta gelen sehari iaitu bersamaan dengan air terawat yang dihasilkan loji di Sungai Terip.

Ketika ini, katanya, keperluan air bagi penduduk di daerah Seremban ialah kira-kira 75 juta gelen sehari dan mempunyai lebihan untuk disalurkan ke kawasan lain.

Mengenai cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk membeli air daripada kerajaan negeri bagi disalurkan kepada penduduk di Selangor, Mohamad memberitahu, rundingan sedang dibuat, tetapi bergantung kepada lebihan air terawat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) yang kini diperbadankan perlu membayar royalti kepada kerajaan negeri setiap kali mengeluarkan air terawat di loji-loji seluruh negeri.

"Tahun lalu sahaja kerajaan negeri memperoleh tambahan pendapatan daripada royalti ini sebanyak RM18 juta. Apabila loji-loji yang sedang dibina ini siap, lebih banyak royalti akan kita peroleh daripada Sains," katanya.

Mengenai purata air tanpa hasil (NRW) pula, Mohamad berkata, kerajaan negeri menyasarkan ia boleh dikurangkan kepada 38 peratus pada tahun depan.

Malah, katanya, sejak dua tahun ia beroperasi sebagai sebuah perbadanan, sebanyak RM300 juta telah dibelanjakan untuk menggantikan paip lama jenis asbestos kepada besi.

"Jika kita hendak menukar keseluruhan paip di negeri ini, ia memerlukan RM850 juta hingga RM1 bilion dan mengambil masa lebih 10 tahun kerana kos yang terlalu tinggi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment