Powered By Blogger

Tuesday 19 November 2013

IBM transformasi ekonomi N9



SEREMBAN 17 Nov. – Sepasukan pakar dari syarikat teknologi IBM telah membangunkan secara komprehensif blue print berkaitan transformasi ekonomi negeri ini sehingga tahun 2020 di bawah geran ‘Cabaran Bandar Raya Pintar IBM’ yang diperoleh negeri ini, tahun lalu.

Pasukan IBM itu yang terdiri daripada pakar teknologi dan perunding antarabangsa telah berada selama tiga minggu di negeri ini dan dibiayai sepenuhnya oleh program keperkasaan teknologi di bawah IBM, selepas Negeri Sembilan terpilih daripada 30 bandar dan negeri di dunia untuk menerima geran pembangunan berjumlah USD400,000 (RM1,280,000) dari syarikat tersebut.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, perubahan landskap ekonomi telah mendorong kerajaan mencari peluang yang lebih baik dalam memperbanyakkan kemasukan pelabur ke dalam negeri ini.
”Cadangan daripada pasukan pakar IBM ini dilihat dapat membantu kerajaan negeri untuk menggariskan pelbagai kerangka dan peluang serta menumpukan kepada usaha mendekati skop yang dapat membawa kejayaan lebih besar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan IBM di sini semalam.

Tambah beliau, pasukan pakar ini telah bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam mencari dan mengumpulkan maklumat dari pelbagai sumber, bersama Rangkaian Minang (NS) Sdn. Bhd.
”Segala input itu akan membantu meningkatkan lagi sumber negeri melalui apa juga yang diperoleh dan perkhidmatan berteraskan ekonomi serta tidak hanya tertumpu dalam bidang pertanian sebagai sumber asas,” katanya.

IBM dalam program yang dilaksanakan ini telah menghasilkan garis panduan untuk membolehkan agensi kerajaan di negeri ini mampu bekerjasama untuk menarik kehadiran pelabur baharu.

Pada masa yang sama pasukan pakar IBM ini juga mengemukakan beberapa cadangan dalam pembentukan badan pemantau bagi memastikan harapan terhadap pembangunan ekonomi negeri ini mencapai sasarannya.
Sementara itu, Pengarah Urusan IBM Malaysia, Paul Moung berkata, pihaknya dapat melihat skop yang lebih berjaya dengan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, termasuklah sokongan kuat yang ditunjukkan oleh rakyat.

”Dengan gabungan inisiatif tersebut, sepatutnya dapat membantu negeri ini mengekalkan mahupun meningkatkan lonjakan ekonominya,” katanya.

”Menjadi harapan IBM, melalui kepakaran yang dikongsi bersama kerajaan negeri ini, selain pengalaman yang diberikan oleh pasukan pakar, dapat membantu negeri ini mencapai kemajuan melalui teknologi pintar dalam peningkatan ekonomi semasanya,” jelasnya.

Ketika ini, menjadi harapan kerajaan ini untuk melihat peningkatan paras Keluaran Dalam Negara Kasan (KDNK) negeri kepada 37 peratus iaitu daripada RM27.7 bilion kepada RM38 bilion, selain memastikan juga penambahan dalam paras pendapatan perkapita kepada 23 peratus, iaitu daripada RM32,500 kepada RM40,000.

Buat masa ini, sumber ekonomi dipertingkatkan melalui sektor pembuatan, namun pada masa sama, dapat dilihat usaha dilakukan kerajaan negeri dalam mempelbagaikan sumbernya supaya kesannya tidak membosankan dalam kehendak pasaran.

Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama terpilih dalam program ‘Cabaran Bandar raya Pintar IBM’ di negara ini, sekali gus membuka ruang pertukaran pengetahuan yang bakal menyaksikan pembikinan sebuah ‘negeri pintar’ menjelang 2020.

Antara perkara yang dibangunkan secara bersama itu meliputi pembangunan ekonomi, air, tenaga dan persekitaran, kesihatan dan perkhidmatan sosial, pengangkutan serta keselamatan awam.

Di akhir kerjasama itu kelak, IBM akan mengemukakan secara komprehensif beberapa cadangan untuk penyelesaian masalah, diikuti beberapa minggu kemudian dengan perinciannya, sebelum menggariskan secara bertulis pelan tindakannya.

No comments:

Post a Comment