Powered By Blogger

Tuesday 12 November 2013

Mahasiswa Ini Merupakan Golongan Yang Kritis


Rembau, 01 Nov. – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan hadir menyempurnakan Majlis Retreat Kepimpinan Kumpulan Mahasiswa Negeri Sembilan 2013, di Kem Bina Negara, Ulu Sepri, Rembau.
Beliau yang pernah menyandang jawatan Presiden Anak Negeri Sembilan Univerisiti Malaya, 1976 berpengalaman serupa dengan mahasiswa yang hadir di majlis retreat di mana beliau berpandangan dan berpendapat bahawa golongan mahasiswa ini merupakan golongan yang kritis.
Ujarnya, “walaupun mereka kelihatan tidak sependapat dan sehaluan dengan pemikiran orang lain, namun pemikiran kritis tersebut bukan bermakna membangkang, malah mampu memberikan satu idea yang baik untuk dimanfaatkan.”
Beliau menyeru kepada semua peserta yang hadir menggunakan platform ini sebagai tempat untuk berbincang dan bertukar fikiran bagi mendapatkan satu rumusan, di mana rumusan itu nanti akan di bawa oleh wakil rakyat DUN Belia yang mewakili sektor mahasiswa.
Katanya lagi, ini merupakan platform yang amat baik mewakili anak muda, belia dan pelapis pemimpin di masa akan datang di tambah pula mempunyai masa hadapan yang cerah kerana belajar di IPTA.
Justeru kewujudan alumni siswazah kelas pertama akan banyak membantu dan memainkan peranan kerana mereka terdiri dari pelbagai kepakaran yang diperlukan.
Negara amat memerlukan satu lonjakan yang baharu, dari ekonomi yang berpendapatan sederhana kepada ekonomi berprestasi tinggi menjelang 2020.
Ujar beliau lagi, “siapa pernah menduga bahawa Malaysia sebuah negara yang kecil, mempunyai penduduk tidak ramai, mempunyai ekonomi domestik yang tidak boleh menampung keperluan rakyat, tetapi boleh membangun di atas kaki sendiri dengan kapasiti ekonomi berasaskan perindustrian.
Hadir sama, Ahli Majlis Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan, Dato’ Saifulbahri Idris,  Timbalan Naib Canselor UKM juga Penaung Pemanis UKM, Profesor Dato’ Ir. Osman Karim, Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, Encik Kamarudin Abu Bakar dan Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan, Puan Wan Salwati Hj Abdullah.

No comments:

Post a Comment