Wednesday, 13 November 2013

Persiap Bilik Gerakan Bencana Alam Setiap Daerah


SEREMBAN, 6 Nov – Jawatankuasa Tindakan Bencana Alam telah digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti banjir, tanah runtuh atau segala kemungkinan yang bakal berlaku ketika musim tengkujuh nanti.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, jawatankuasa tindakan bencana alam telah pun digerakkan dan setiap bilik-bilik gerakan yang diketuai oleh pegawai-pegawai daerah, telahpun bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam situasi cuaca yang tidak menentu saat ini.

“Walaubagaimanapun, mengikut laporan dari Jabatan Kaji Cuaca dan Jabatan Pengairan dan Saliran, nisbah hujan di Negeri Sembilan beransur baik dan berkemungkinan tidak dilanda banjir kecuali banjir kilat yang tidak dapat kita jangkakan,” jelas beliau.

Dalam situasi cuaca yang tidak menentu ini, beliau juga memberi nasihat kepada orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan keadaan tempat tinggal yang berisiko tinggi untuk mengalami kenaikan paras air yang merbahaya.

“Jangan leka dan menunggu bantuan diberikan jika melihat paras air membahayakan, sebaliknya bertindaklah dengan segera untuk berpindah ke kawasan yang selamat jika menghadapi situasi cemas berikutan kenaikan paras air, khususnya bagi mereka-mereka yang tinggal di kawasan yang mudah dinaiki air,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment