Powered By Blogger

Friday 30 March 2012

Hospital Daerah Rembau dibina dalam 2 fasa


KUALA LUMPUR 29 Mac - Pembinaan Hospital Daerah Rembau di Negeri Sembilan akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu melibatkan kerja-kerja tanah dan pembinaan bangunan dengan kos dianggarkan berjumlah RM122.6 juta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bagi fasa pertama, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyediakan pelan reka bentuk dan tender bagi kerja-kerja tanah dibuka pada 27 Februari lalu dan ditutup pada bulan ini.

"Bagi kerja-kerja bangunan pada fasa kedua, tender dijangka dibuka pada hujung Mei ini," katanya menjawab pertanyaan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tiong Lai berkata, mengikut perancangan Hospital Daerah Rembau akan mempunyai enam wad iaitu wad lelaki, wanita, kanak-kanak, bersalin, wad geriatrik dan wad pemulihan.

Katanya, kemudahan lain termasuk perkhidmatan pesakit luar, unit kecemasan dan forensik, unit rawatan harian, jabatan x-ray, makmal dan satu dewan bedah.

"Hospital juga akan menerima perkhidmatan lawatan pakar-pakar dan Hospital Tunku Ja'afar Seremban akan memantau perkhidmatan geriatrik dan pemulihan secara berkala. Hospital ini dijangka mempunyai pegawai perubatan antara 10 dan 12 orang," katanya.

Hospital Daerah Rembau akan dibina di atas tapak seluas 18 hektar di Mukim Chembong dengan kapasiti 76 katil.


Thursday 29 March 2012

Tiada hasrat ambil alih NFCorp



SEREMBAN - Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam projek syarikat National Fidlot Corporation (NFCorp), malah tidak berhasrat pun untuk mengambil alih pengurusan syarikat tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan kerajaan mahu membuka tender kepada mana-mana syarikat pakar dianggap sesuatu yang lebih baik.

Katanya, pengurusan melalui pencarian tender itu bagi mengelakkan sebarang tohmahan daripada pihak tertentu.

“Mencari dan membuka tender untuk urusan projek NFCorp itu lagi bagus, sebab akan berlangsung dalam keadaan lebih telus.

“Malah kita sangat mengalu-alukan cadangan ini yang dilihat dapat mengelakkan tohmahan mahupun tuduhan orang luar,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, semalam.

Mohamad berkata, Kerajaan negeri hanya memajakkan tanah kepada syarikat berkenaan mengikut tempoh dipersetujui, tanpa mengambil tahu setiap pengurusan yang dijalankan oleh syarikat tersebut selepas itu.

“Kita hanya memajakkan tanah seluas 600 hektar kepada syarikat terbabit dan setiap pengurusan kerja di bawah tanggungjawab mereka.

“Ia (NFCorp) langsung tiada kena mengena dengan Kerajaan Negeri kerana kita tidak uruskannya dan ia adalah hak milik syarikat persendirian.

“Walaupun pihak pengurusan syarikat ini bertukar tangan, Kerajaan Negeri tetap akan menyewakan tanah selagi diperlukan, asalkan mereka membayar cukai tanah dan duit sewa kepada kita,” katanya

2,308 terima diploma, sijil




TELOK KEMANG 27 Mac - Seramai 2,308 graduan Politeknik Port Dickson (PPD) menerima diploma serta sijil pelbagai jurusan pada majlis Konvokesyen Ke-21, di sini baru-baru ini.

Pengarah politeknik itu, Mohd. Kharir Mohd. Ibrahim berkata, PPD berjaya melahirkan kira-kira 26,158 lepasan dalam pelbagai bidang sejak ditubuhkan pada 1990.

"Lebih membanggakan, setiap tahun bilangan atau peratusan kelulusan meningkat iaitu pada tahun ini kita mencapai hampir 98.1 peratus bagi sesi ini berbanding 9.25 peratus pada sesi Disember 2010.

"Peningkatan itu turut menyaksikan kita memperoleh 94.5 peratus kelulusan pada sesi Jun tahun lalu," katanya di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, selain pencapaian akademik, PPD turut berjaya meneruskan kecemerlangan dalam aspek pembangunan penuntut menerusi pelbagai program termasuk jaringan penyelidikan teknologi hijau, 'Perodua eco-Challenge' dan kerjasama pintar antara penggiat industri.

"Ini adalah antara inisiatif yang diyakini mampu mendorong penuntut untuk lebih berdaya saing, kreatif dan inovatif.
"Kejayaan ini merupakan kerjasama serta hasil usaha gigih semua warga PPD termasuk tenaga pengajar dan kakitangan," ujarnya.

Majlis konvokesyen tersebut telah disempurnakan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.
Pada majlis sama, graduan, Ahmad Shakimi Setapa dan Mohamad Afiq Izzuddin Ishak masing-masing telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum.

Tuesday 27 March 2012

Kekalkan matlamat PKNNS






Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) perlu terus kekal sebagai pemudah cara yang membantu rakyat dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, oleh kerana itu, ia tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan sehingga ke tahap pengusaha bumiputera terpaksa bersaing dengannya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, tujuan asal penubuhan perbadanan itu ekoran daripada konvensyen ekonomi bumiputera pada tahun 70-an adalah sebagai pemudah cara bagi melahirkan seramai mungkin usahawan baru.

Katanya, matlamat penubuhannya tidak pernah menggariskan ia untuk berlumba-lumba mengaut keuntungan sehingga berjuta-juta ringgit dengan terlibat secara aktif dalam perniagaan.

"Jadi ia tidak harus tergelincir daripada matlamat itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada fungsi asalnya iaitu sebagai pemudah cara.

"Pada masa ini, saya nampak PKNNS telah memainkan peranan yang betul dengan pelbagai usaha telah dibuat dalam pembangunan usahawan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis anugerah perkhidmatan cemerlang, anugerah warga setia 30 tahun dan meraikan bakal pesara PKNNS di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PKNNS, Datuk Mohd. Yusof Yunus dan ahli lembaga pengarah perbadanan tersebut.
Pada majlis tersebut, sebanyak lima kakitangan PKNNS menerima anugerah cemerlang, 18 orang menerima anugerah warga setia 30 tahun dan tiga orang menerima penghormatan sempena persaraan mereka tahun ini.

Mohamad berharap usaha untuk melahirkan ramai usahawan baru dijalankan dengan tekun dan cekal walaupun bilangan usahawan baru yang berjaya dididik sedikit berbanding jumlah orang yang dilatih sejak mula.

"Apa yang penting ialah usaha-usaha mesti diteruskan walaupun ia akan mengambil masa yang panjang sebelum kita dapat melihat hasilnya," ujarnya

Wednesday 21 March 2012

KEPUTUSAN SPM(2011) NEGERI SEMBILAN ANTARA YANG TERBAIK DALAM MALAYSIA




SEREMBAN – Seramai 755 pelajar daripada 17,827 calon  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di negeri ini telah berjaya mendapat keputusan cemerlang apabila berjaya memperolehi pangkat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.



Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak berkata, daripada jumlah tersebut seramai 40 pelajar berjaya memperolehi pangkat (A+) dalam semua mata pelajaran sekaligus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.



“Pencapaian itu merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan pencapaian tahun 2010 iaitu  620 sahaja memperolehi pangkat A dalam semua mata pelajaran.



“Manakala Gred Purata Negeri (GPN) SPM kali ini ialah 4.82 dimana nilainya berkurangan sebanyak 0.17 berbanding 4.99 pada tahun 2010 yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pencapaian calon secara keseluruhannya,” katanya dalam satu sidang media diadakan dekata sini semalam.



Menurutnya, pencapaian sekolah luar bandar dan bandar secara keseluruhannya menunjukkan prestasi semakin baik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) yang diperolehi.



Abdul Halim berkata, bilangan pelajar cemerlang bagi kedua-dua jenis sekolah juga meningkat iaitu bagi sekolah luar bandar seramai 248 memperolehi keputusan cemerlang dan 507 bagi sekolah bandar.



“Peratus calon lulus bagi semua mata pelajaran di sekolah luar bandar juga turut meningkat sebanyak 4.4 peratus iaitu 53.4 peratus.



“Manakala peratus calon lulus semua mata pelajaran di sekolah bandar meningkat sebanyak 3.0 peratus iaitu 63.7 peratus,” katanya.



Selain itu katanya, sebanyak lapan buah sekolah dikategorikan sebagai cemerlang, 17 buah sekolah dikategorikan baik dan 84 buah sekolah memuaskan.



Katanya, antara sekolah cemerlang berdasarkan GPS di Negeri Sembilan ialah, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah Tuanku Munawir, Sekolah Menengah (SM) Sains Rembau, Sekolah Datuk Abdul Razak, SM Agama Persekutuan Labu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol, SM Sains Tuanku Jaafar dan SMK Agama Sheikh Haji Mohd Said.



“Secara keseluruhannya keputusan SPM bagi peringkat negeri tahun lalu telah menunjukkan peningkatan dari segi kualiti kecemerlangannya berbanding tahun sebelum ini.



“Malah kita turut berbangga apabila berjaya mengekalkan kedudukan sebagai antara lima sekolah terbaik peringkat kebangsaan,” katanya.

Monday 12 March 2012

Penerima bantuan JKM Di N.Sembilan meningkat




SEREMBAN 11 Mac - Bilangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Sembilan terus meningkat dari 22,841 orang kepada 24,641 orang berdasarkan kepada statistik yang berakhir pada 31 Disember 2011.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia menyaksikan pertambahan bantuan kewangan kepada golongan kurang berkemampuan, warga emas, pesakit terlantar dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dari RM5.3 juta kepada RM6.1 juta setiap bulan.

''Ia adalah satu daripada usaha berterusan kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan pembelaan dan kurang bernasib baik dapat dibantu secara berterusan melalui JKM," katanya di sini, baru-baru ini.


Tiga premis di Dataran Segar diserbu dalam operasi di sekitar Lukut




TELOK KEMANG 11 Mac - Pasukan penguat kuasa mematahkan kegiatan judi komputer yang beroperasi di sekitar Lukut di sini selepas menyerbu tiga buah premis di Dataran Segar dalam operasi bersepadu yang diadakan malam tadi.

Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Imigresen itu berjaya menahan seramai 26 kaki judi.

Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Yusharifuddin Mohd. Yusop memberitahu, ketiga-tiga premis itu diserbu pada pukul 9.30 malam selepas menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan berkenaan.

"Dalam serbuan itu, seramai 26 lelaki iaitu 22 rakyat tempatan dan empat warga Indonesia yang sedang leka berjudi di premis itu.

"Selain mereka, turut ditahan adalah empat lelaki iaitu tiga warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan dipercayai penjaga premis itu," kata Yusharifuddin selepas mengetuai operasi itu malam tadi.

Yusharifuddin berkata, polis turut merampas wang tunai RM7,971 dan 90 unit komputer yang digunakan untuk kegiatan perjudian di tiga premis berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua premis terbabit beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan bagi tujuan keselamatan, pengusaha premis itu memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 27 hingga 45 tahun dan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Port Dickson untuk soal siasat," kata beliau.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Datuk Mustafa berkata, seramai 22 kaki judi beragama Islam yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 79 A Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004.

Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Thursday 8 March 2012

Malaysia paling selamat di Asia Tenggara, ke-19 dunia




Malaysia diiktiraf negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2011, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ia juga sekali gus membuktikan kesungguhan, komitmen dan kerja keras semua pihak khususnya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi berkaitan.

"Ia termasuklah komitmen sukarelawan polis terlatih dari Angkatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan PDRM dan agensi-agensi berkaitan khususnya dalam memastikan rakyat di negara ini dapat hidup dalam keadaan selamat, aman dan tenteram.

Selain itu katanya, pada tahun lepas, jenayah indeks keseluruhan turut mencatat penurunan sebanyak 11 peratus berbanding tahun 2010, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu lima peratus.

Sementara indeks jenayah jalanan pula mencatat penurunan sebanyak 40 peratus berbanding tahun 2009, iaitu selari dengan sasaran yang ditetapkan. 

Stesen Komuter Sungai Gadut jadi pilihan 'penghubung' destinasi



 - Stesen Komuter Sungai Gadut dekat sini menjadi satu lagi kebanggaan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila ia menjadi pilihan pengangkutan awam sebagai penghubung destinasi bagi mereka yang mendiami kawasan Selatan negeri ini.

Malahan dengan adanya stesen itu, ia turut menepati hasrat kerajaan negeri untuk melihat lebih ramai anak negeri ini menetap di sini, walaupun perlu bekerja di Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan adanya Stesen Komuter Sungai Gadut juga, ia akan menyaksikan penduduk sekitar ini tidak perlu ke Seremban untuk menaiki perkhidmatan itu sebaliknya dari Sungai Gadut mereka boleh terus ke Kuala Lumpur dan destinasi lain.

"Ini dapat mengurangkan kos dan pada masa yang sama mereka boleh meletakkan kereta di kawasan meletak kenderaan yang luas di stesen itu dan terus menaiki komuter ke Kuala Lumpur," ujarnya.

Tambahnya, stesen yang sudah beroperasi itu juga dapat mengurangkan kesesakan di stesen keretapi Seremban, lebih-lebih lagi pada waktu pagi dan lewat petang.

Ketika ini juga stesen yang dibina oleh kerajaan itu menjadi tumpuan pelajar dan penuntut universiti yang balik bercuti, selain pekerja kilang yang mahu pulang ke kawasan taman perumahan berhampiran serta ke Rembau.


"Stesen ini mempunyai segala kemudahan seperti lif, tandas khas, tempat meletak kenderaan yang luas, begitu juga untuk kegunaan orang kelainan upaya (OKU).










Rancang kerjasama lahir generasi lebih gemilang




Rancang kerjasama lahir generasi lebih gemilang

Negeri Sembilan Records RM5.7 Billion In Foreign Investments Last Year




SEREMBAN, March 7 – Negeri Sembilan recorded foreign investments totalling RM5.7 billion last year, making the state among the top five investment destinations in Malaysia.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan said this was a good achievement as the state has set the target of RM1 billion in foreign investments annually in order to achieve minimum growth of five percent.
“Last year, the total foreign investments in our manufacturing sector alone (excluding retail and services sectors) amounted to RM5.7 billion.
“We expect the total foreign investments for the manufacturing sector in the state to increase further this year, considering that we now have many negotiations in the pipeline and a lot of people are knocking on our door at present,” he told reporters here today.
Mohamad said this after the signing of sales and purchase agreement for industrial land at Sendayan Valley, Bandar Sri Sendayan near here between Menteri Besar Incorporation (MBI), Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd and BSS Development Sdn Bhd.
He said the foreign investors’ interest in the state was encouraging based on several factors one of which was that te state is considered part of the greater Klang Valley.
In addition, factories that are now operating in areas such as Shah Alam, Petaling Jaya and Subang Jaya, want to relocate to the state under their expansion programmes.
“Some of them want to unlock the value of their assets…So, they want to relocate, at the same time unlock the potential from industrial to commercial or to housing development where they can reap more value for their land compared to the current usage.
“Hence, Negeri Sembilan is preparing itself since it is considered part of the greater Klang Valley. We have put in place a lot of facilities especially infrastructure. Negeri Sembilan, on the other hand, has an advantage because it is close to KLIA, Port Klang and also the inland port.
“This will also be a catalyst for people to consider coming (to invest) to Negeri Sembilan. There are many investments that are under discussions. One of the issues we are discussing is on supply of gas.
“One of the conditions and a priority raised by the industries is the supply of gas. They don’t want to use electricity from Tenaga Nasional as it’s very costly…They prefer to use gas.
“We are now discussing with Gas Malaysia for the connection of the gas pipeline from Seremban to Bandar Sri Sendayan. If we can work out the gas supply, I’m confident that five or six big companies with multi billion ringgit investment will come to Negeri Sembilan,” he said.