Powered By Blogger

Tuesday 27 March 2012

Kekalkan matlamat PKNNS






Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) perlu terus kekal sebagai pemudah cara yang membantu rakyat dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, oleh kerana itu, ia tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan sehingga ke tahap pengusaha bumiputera terpaksa bersaing dengannya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, tujuan asal penubuhan perbadanan itu ekoran daripada konvensyen ekonomi bumiputera pada tahun 70-an adalah sebagai pemudah cara bagi melahirkan seramai mungkin usahawan baru.

Katanya, matlamat penubuhannya tidak pernah menggariskan ia untuk berlumba-lumba mengaut keuntungan sehingga berjuta-juta ringgit dengan terlibat secara aktif dalam perniagaan.

"Jadi ia tidak harus tergelincir daripada matlamat itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada fungsi asalnya iaitu sebagai pemudah cara.

"Pada masa ini, saya nampak PKNNS telah memainkan peranan yang betul dengan pelbagai usaha telah dibuat dalam pembangunan usahawan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis anugerah perkhidmatan cemerlang, anugerah warga setia 30 tahun dan meraikan bakal pesara PKNNS di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PKNNS, Datuk Mohd. Yusof Yunus dan ahli lembaga pengarah perbadanan tersebut.
Pada majlis tersebut, sebanyak lima kakitangan PKNNS menerima anugerah cemerlang, 18 orang menerima anugerah warga setia 30 tahun dan tiga orang menerima penghormatan sempena persaraan mereka tahun ini.

Mohamad berharap usaha untuk melahirkan ramai usahawan baru dijalankan dengan tekun dan cekal walaupun bilangan usahawan baru yang berjaya dididik sedikit berbanding jumlah orang yang dilatih sejak mula.

"Apa yang penting ialah usaha-usaha mesti diteruskan walaupun ia akan mengambil masa yang panjang sebelum kita dapat melihat hasilnya," ujarnya

No comments:

Post a Comment