TELOK KEMANG 27 Mac - Seramai 2,308 graduan Politeknik Port Dickson (PPD) menerima diploma serta sijil pelbagai jurusan pada majlis Konvokesyen Ke-21, di sini baru-baru ini.
Pengarah politeknik itu, Mohd. Kharir Mohd. Ibrahim berkata, PPD berjaya melahirkan kira-kira 26,158 lepasan dalam pelbagai bidang sejak ditubuhkan pada 1990.
"Lebih membanggakan, setiap tahun bilangan atau peratusan kelulusan meningkat iaitu pada tahun ini kita mencapai hampir 98.1 peratus bagi sesi ini berbanding 9.25 peratus pada sesi Disember 2010.
"Peningkatan itu turut menyaksikan kita memperoleh 94.5 peratus kelulusan pada sesi Jun tahun lalu," katanya di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, selain pencapaian akademik, PPD turut berjaya meneruskan kecemerlangan dalam aspek pembangunan penuntut menerusi pelbagai program termasuk jaringan penyelidikan teknologi hijau, 'Perodua eco-Challenge' dan kerjasama pintar antara penggiat industri.
"Ini adalah antara inisiatif yang diyakini mampu mendorong penuntut untuk lebih berdaya saing, kreatif dan inovatif.
"Kejayaan ini merupakan kerjasama serta hasil usaha gigih semua warga PPD termasuk tenaga pengajar dan kakitangan," ujarnya.
Majlis konvokesyen tersebut telah disempurnakan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.
Pada majlis sama, graduan, Ahmad Shakimi Setapa dan Mohamad Afiq Izzuddin Ishak masing-masing telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum.
No comments:
Post a Comment