Powered By Blogger

Monday 12 March 2012

Tiga premis di Dataran Segar diserbu dalam operasi di sekitar Lukut




TELOK KEMANG 11 Mac - Pasukan penguat kuasa mematahkan kegiatan judi komputer yang beroperasi di sekitar Lukut di sini selepas menyerbu tiga buah premis di Dataran Segar dalam operasi bersepadu yang diadakan malam tadi.

Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Imigresen itu berjaya menahan seramai 26 kaki judi.

Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Yusharifuddin Mohd. Yusop memberitahu, ketiga-tiga premis itu diserbu pada pukul 9.30 malam selepas menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan berkenaan.

"Dalam serbuan itu, seramai 26 lelaki iaitu 22 rakyat tempatan dan empat warga Indonesia yang sedang leka berjudi di premis itu.

"Selain mereka, turut ditahan adalah empat lelaki iaitu tiga warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan dipercayai penjaga premis itu," kata Yusharifuddin selepas mengetuai operasi itu malam tadi.

Yusharifuddin berkata, polis turut merampas wang tunai RM7,971 dan 90 unit komputer yang digunakan untuk kegiatan perjudian di tiga premis berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua premis terbabit beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan bagi tujuan keselamatan, pengusaha premis itu memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 27 hingga 45 tahun dan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Port Dickson untuk soal siasat," kata beliau.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Datuk Mustafa berkata, seramai 22 kaki judi beragama Islam yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 79 A Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004.

Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment