Powered By Blogger

Friday 30 March 2012

Hospital Daerah Rembau dibina dalam 2 fasa


KUALA LUMPUR 29 Mac - Pembinaan Hospital Daerah Rembau di Negeri Sembilan akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu melibatkan kerja-kerja tanah dan pembinaan bangunan dengan kos dianggarkan berjumlah RM122.6 juta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bagi fasa pertama, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyediakan pelan reka bentuk dan tender bagi kerja-kerja tanah dibuka pada 27 Februari lalu dan ditutup pada bulan ini.

"Bagi kerja-kerja bangunan pada fasa kedua, tender dijangka dibuka pada hujung Mei ini," katanya menjawab pertanyaan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tiong Lai berkata, mengikut perancangan Hospital Daerah Rembau akan mempunyai enam wad iaitu wad lelaki, wanita, kanak-kanak, bersalin, wad geriatrik dan wad pemulihan.

Katanya, kemudahan lain termasuk perkhidmatan pesakit luar, unit kecemasan dan forensik, unit rawatan harian, jabatan x-ray, makmal dan satu dewan bedah.

"Hospital juga akan menerima perkhidmatan lawatan pakar-pakar dan Hospital Tunku Ja'afar Seremban akan memantau perkhidmatan geriatrik dan pemulihan secara berkala. Hospital ini dijangka mempunyai pegawai perubatan antara 10 dan 12 orang," katanya.

Hospital Daerah Rembau akan dibina di atas tapak seluas 18 hektar di Mukim Chembong dengan kapasiti 76 katil.


No comments:

Post a Comment