Powered By Blogger

Wednesday 13 August 2014

Kerajaan Negeri Tidak Berkompromi




NILAI, 12 Ogos – Kepadatan warganegara asing yang bekerja dan tinggal di kawasan Nilai kini menjadi suatu isu yang perlu diberi perhatian dari aspek keselamatan penduduk tempatan memandangkan pelbagai laporan dan rungutan masyarakat setempat akan kegiatan sosial mereka yang sedikit sebanyak menganggu ketenteraman komuniti di kawasan Nilai ini.

Berikutan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan, menggesa agar pihak berkuasa tempatan khususnya Polis DiRaja Malaysia agar sentiasa memantau kegiatan mereka demi memastikan keselesaan penduduk tempatan yang merasakan diri mereka selamat bila adanya kelompok warganegara asing di kawasan mereka.



“Perlu adanya pemantauan agar kawasan Nilai ini terkawal dan tidak seperti yang kita katanya ianya Pekan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” jelas beliau ketika ditanya pemberita selepas meghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Nilai.

Beliau menambah, satu sistem kawalan yang kukuh dan berkesan di kawasan yang berlatarbelakangkan pelbagai bangsa dan budaya ini perlu diwujudkan kerana pihak PBT sudah tidak boleh lagi mengaplikasikan sistem pemantauan yang digunakan untuk rakyat Malaysia sahaja kerana di Nilai ini umpama bandar antarabangsa yang perlu diberi perhatian wajar demi keselamatan awam.

Justeru, beliau mahu PBT, Polis, Imigresen dan yang lain untuk sentiasa bersiap-siaga untuk memantau dan menjalankan penguatkuasaan setiap masa supaya mereka yang bekerja di negara ini sedar bahawa pihak berkuasa kerajaan Malaysia sentiasa memerhatikan mereka agar tidak melakukan sebarang perkara dengan sewenang-wenangnya.

Mengenai isu judi siber yang dikatakan masih wujud di Nilai khasnya dan Negeri Sembilan amnya, Datuk Seri Mohamad menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan amat serius membendung gejala yang tidak sihat ini. 

Gabungan kerjasama antara agensi seperti Polis, Jabatan Agama dan PBT serta Kerajaan Negeri sendiri, melalui operasi yang dinamakan “Ops Harash”, Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan aktiviti haram ini secara berperingkat.



“Kita faham mereka akan membuka semula perniagaan judi siber ini kerana pulangannya amat lumayan, seperti pengedar dadah, mereka tahu tentang hukuman yang bakal menimpa mereka namun mereka teruskan juga” jelas Menteri Besar Negeri Sembilan ini lagi.

Untuk mengekang aktiviti haram ini, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak polis dan agensi kerajaan yang lain telah menubuhkan satu Jawatan Kuasa Khas yang mana bidang kuasanya adalah setara dengan Jawatan Kuasa Bencana Alam. “Mereka bertugas round the clock” ujar Datuk Mohamad lagi.
Beliau juga turut memohon kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai kegiatan yang tidak bermoral ini agar tindakan pantas dapat dilaksanakan.

Pemilik premis juga bakal diheret ke muka pengadilan kiranya didapati menyewakan premis mereka kepada sindiket judi ini, tegas Menteri Besar lagi.
Datuk Mohamad juga turut menyentuh isu bantuan Kerajaan Negeri Sembilan di kawasan luar bandar berhubung simpang jalan yang tidak berlampu. Melalui Fasa III, sejumlah RM4 juta diperuntukan untuk prasarana kemudahan rakyat ini.

Kementerian Luar Bandar juga turut membantu projek menaik taraf memasang lampu di simpang jalan yang masih tidak ada lampu jalan.

No comments:

Post a Comment