Powered By Blogger

Monday 18 August 2014

Tanggungjawab memasyarakatkan UMNO



Rembau, 17 Ogos – Ahli UMNO, ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Negeri Sembilan perlu lebih berusaha dan bekerja lebih kuat lagi bagi menarik minat dan sokongan masyarakat yang kini berbelah bahagi membuat pilihan parti mereka.

Tanggungjawab memasyarakatkan UMNO ini perlu dilaksanakan oleh Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri melalui aktiviti dan peranan masing-masing.

Semua ahli juga dinasihatkan tidak terlampau eksklusif, tidak bergerak secara berkumpulan dan berkelompok sehingga masyarakat merasakan diri mereka tidak bersama dan merasa terpinggir.

Perlu bersama-sama masyarakat dan memahami mereka, jika tidak mereka akan hilang kepercayaan ke atas parti UMNO seterusnya parti kehilangan sokongan mereka yang selama ini menganggap UMNO sebuah parti tempat bergantung harapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan bercakap demikian di hadapan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2014 di Dewan Sri Rembau, hari ini.

Tambah beliau di dalam ucapan, “kebersamaan ini amat penting di dalam masyarakat kerana mereka menilai siapa yang mampu membantu mensejahterakan dan mengharmonikan kehidupan mereka.”
Menteri Besar seterusnya mengingatkan semua ahli meneruskan perjuangan dan menstabilkan parti kerana melalui kestabilan itu ianya akan menjadi teras kepada penubuhan kerajaan yang baik.

Kerajaan yang ditubuhkan melalui kestabilan parti mampu mengurus dan mentadbir masyarakat dengan baik melalui dasar-dasar yang berkesan.
Jika tidak stabil, kerajaan tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian kepada sesebuah pentadbiran yang akhirnya menjadi liabiliti kepada kelompok masyarakat.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tuan Hj Khairy Jamaludin Abu Bakar, Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Rembau, Puan Arpah Md Dom, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Encik Ardana Mohd Noor dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan, Puan Zuliana Mohd Ridzuan.

No comments:

Post a Comment