Powered By Blogger

Thursday 28 August 2014

Peranan Hino Motors Pacu Ekonomi Negeri Sembilan



SENDAYAN, 26 Ogos – Hino Motors Ltd. membuka lembaran baru dalam sejarah empat dekad di Malaysia dengan pembukaan rasmi kilang pengeluaran pertama di Malaysia dimana sebuah kilang moden telah di dirikan di tapak seluas 170 ribu meter persegi di Lembah Teknologi di Sendayan.
Majlis perasmian kilang yang dinamakan Hino Motors Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd itu, telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
Beliau yang berucap sewaktu merasmikan kilang tersebut melahirkan rasa bangga dengan pembukaan kilang itu sekaligus membuka banyak peluang pekerjaan khususnya kepada masyarakat setempat di negeri ini.
Selain dari itu, beliau turut menasihatkan kepada pengusaha agar sentiasa mematuhi peraturan untuk  memelihara alam sekitar dalam mengejar pembangunan yang kian pesat, disamping mengalu-alukan syarikat pengeluaran besar di Jepun membuka kilang mereka di Negeri Sembilan.
“Diharap operasi yang dijalankan di kilang Hino Motors ini akan dapat memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Negeri Sembilan dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Hino Motors Ltd., Encik Masakazu Ichikawa turut mengumumkan bahawa fasa pembangunan seterusnya di kilang tersebut sudahpun dimulakan dimana ianya termasuk pembinaan sebuah bangunan baru dengan 12 petak ruang pemeriksaan, 12 petak ruang pemasangan aksesori, sebuah petak ruang mengecat dan sebuah petak ruang penyerahan trak dan bas Hino di kawasan berkeluasan 57,240 meter persegi.
Tambah beliau, pembukaan rasmi kilang Hino Motors Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd merupakan satu kemudahan bagi pengeluaran terbaru Hino Motors di dunia dan sekaligus mencerminkan pentingnya pasaran Malaysia sebagai tunggak ketiga operasi Hino di Asia Tenggara.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa, Pengerusi Hino Motors Ltd., Masakazu Ichikawa, serta Pengerusi Hino Motors Malaysia, Aqil Ahmad Azizudin.
Umumnya, Hino Motors telah menjadi pemimpin pasaran dalam segmen kenderaan komersial secara keseluruhan (4 ribu kg dan ke atas) di Malaysia. Kelebihan daya saing utama Hino adalah keupayaannya untuk menawarkan rangkaian kenderaan komersial yang lengkap seperti pacuan empat roda (LCV, HINO 300 Series) kenderaan komersial sederhana-berat (MCV, HINO 500 Series), penggerak utama (HINO 700 Series) hingga bas yang terkenal dengan kualiti, kukuh dan boleh dipercayai.

No comments:

Post a Comment