Powered By Blogger

Friday 14 November 2014

“Selagi kita tidak memfailkan rayuan, maka keputusan penghakiman itu akan berjalan."




Kerajaan negeri telah melantik peguam bagi memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rayuan itu akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut ditangguhkan.
“Selagi kita tidak memfailkan rayuan, maka keputusan penghakiman itu akan berjalan.

“Penetapan keputusan itu akan membawa masalah lebih besar kepada kita kerana semua enakmen syariah dibuat mengikut hukum Allah, bukan hukum yang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Jelasnya, enakmen syariah itu perlu dipertahankan demi menjaga martabat, maruah dan kesucian agama Islam.

“Enakmen itu adalah untuk orang beragama Islam dan bukan untuk orang bukan Islam, sebagai orang Islam, kita wajib mempertahankannya,” tegas beliau.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusannya mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

No comments:

Post a Comment