Powered By Blogger

Friday 7 November 2014

Pemaju Tidak Ambil Peduli





SEREMBAN 06 Nov. – Kerajaan negeri akan mengeluarkan arahan pemberhentian kerja jika pemilik projek pembinaan mengingkari amaran pertama pembersihan kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerajaan mendapati ada tapak pembinaan terutama di kawasan rumah kongsi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan perkembangan itu tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Saya tegaskan bahawa banyak pemaju tidak ambil peduli hal tersebut malah tidak mengendahkan apa yang berlaku di rumah kongsi dan sekitar tapak pembinaan dengan serius.

“Kadangkala apabila saman diberikan, mereka boleh membayarnya dan itu tidak menjejaskan kewangan mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco.

Tambah Mohamad, melihatkan sikap sambil lewa dalam kalangan pemaju dan pemilik projek, maka satu tindakan drastik dibuat oleh kerajaan iaitu mana-mana tapak pembinaan yang didapati menjadi lokasi pembiakan nyamuk akan diberikan amaran pertama arahan pembersihan kawasan.

“Selepas pemeriksaan kali kedua dibuat dan masih didapati wujud pembiakan nyamuk, kita akan mengemukakan perintah melalui undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan supaya arahan pemberhentian kerja selama seminggu sehingga pemiliknya melakukan pembersihan menyeluruh.

“Jika kali ketiga masih lagi ada pembiakan nyamuk, arahan pemberhentian kerja dan penutupan tapak akan dilakukan selama sebulan, manakala pemilik projek (bukan kontraktor) akan dihadapkan ke mahkamah,” tegas Mohamad.

Katanya, tindakan itu akan terpakai bagi semua pihak berkuasa tempatan dalam negeri ini ke atas mana-mana tapak projek pembinaan dalam kawasan seliaan masing-masing.

“Itu adalah tindakan drastik yang diambil kerajaan negeri bagi memastikan tiada pemaju atau pemilik projek mengambil sikap lepas tangan dan mahu ada pemantauan di tapak pembinaan dan rumah kongsi dilakukan dengan serius.

“Sikap tidak peduli itu akan menyebabkan nyamuk aedes berterbangan di kawasan sekitar mahupun perumahan terdekat, yang kelak akan membawa kepada demam denggi atau kematian,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad mengingatkan semua persatuan perumahan, pemilik kilang, premis perniagaan mahupun kediaman mengambil peranan positif memastikan kawasan pembiakan nyamuk aedes dihapuskan segera.

No comments:

Post a Comment