Powered By Blogger

Friday 7 November 2014

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)



SEREMBAN, 04 Nov – Setiap diri pelajar dari institusi pengajian tinggi aliran agama seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) digesa agar membuang stigma rendah diri dengan beranggapan IPTA aliran agama ini berbeza dengan IPTA yang bukan aliran agama sepenuhnya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan menyeru kepada semua mahasiswa agar menyingkirkan sifat rendah diri terhadap IPTA lain kerana IPTA aliran agama mampu setanding dengan IPT yang lain dan berjaya di persada dunia sebagai sebuah institusi Islam yang disegani.

“Jadikanlah IPTA seperti USIM ini sebuah universiti Islam yang menjadi tarikan semua pihak untuk dijadikan contoh dalam melahirkan generasi yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pengurusan dan Pelajar USIM di Palm Mall Hotel, hari ini.

Tambah beliau, sebagai pelajar yang berlatar-belakangkan agama, rasa bangga perlu diterap dalam diri kerana mempunyai kelebihan tambahan dengan pembelajaran sudut agama berbanding yang lain.
Sementara itu, dalam majlis yang sama juga beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 ribu bagi proses pengurusan USIM kepada wakil IPTA itu, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor.

Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan serta Timbalan Naib Canselor dan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

No comments:

Post a Comment