Powered By Blogger

Friday 27 June 2014

Masjid Kariah Taman Seremban Jaya


SEREMBAN, 25 Jun – Masjid Kariah Taman Seremban Jaya merupakan masjid baru yang dibina di atas tanah berkeluasan 4.2 hektar. Kos pembinaan sebanyak RM4.2 juta menjadikan masjid ini mempunyai kapasiti untuk menempatkan seramai 1500 orang jemaah pada satu-satu masa.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menyifatkan masjid yang telah dibina ini sebagai tempat tumpuan dalam mempertingkatkan syiar Islam selain mengukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurut beliau, masjid yang dibina ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri kepada jemaah serta masyarakat setempat untuk melakukan aktiviti-aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.
“Saya merasa gembira dengan kesempurnaan struktur bangunan masjid yang dibina ini agar boleh diguna pakai oleh semua umat Islam.
“Dan sebagai umat Islam, kita perlu bersatu padu dan berganding bahu untuk terus berdaya saing malah sentiasa bekerjasama agar syiar Islam dapat diperluaskan”, katanya lagi sewaktu menyampaikan ucapan untuk menyempurnakan majlis.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Bin Haji Ahmad telah mengisytiharkan Masjid ini secara rasminya boleh diguna pakai untuk menunaikan Solat Jumaat serta pelbagai program keagamaan yang sesuai dengan peranannya.
Terdahulu, majlis turut dimuliakan dengan penyampaian tazkirah dan majlis doa selamat yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Yusry Bin Mazlan serta taklimat projek oleh wakil Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan.
Majlis berakhir dengan simbolik penyerahan masjid kepada Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum menunaikan Solat Isyak seara berjemaah.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, Exco Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Hasim Bin Rusdi, Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan, Encik Abdul Karim Bin Mohd Tahir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg. Ustaz Selamat Bin Paigo dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Tuan Kamal Amran Bin Kamarudin.

No comments:

Post a Comment