Powered By Blogger

Tuesday 17 June 2014

Penambahan Kuota Sebanyak 30%


SEREMBAN 15 Jun – Menjelang Ramadan dan Syawal tahun ini, kerajaan negeri akan mengambil inisiatif khusus dengan menambah bekalan makanan dan barangan keperluan di negeri ini sebanyak 30 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, sehubungan dengan itu kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan agar kuota itu ditambah bagi tempoh dua bulan.
Jelas Mohamad, inisiatif itu dilakukan bagi memadamkan kerisauan orang ramai di negeri ini mengenai masalah kekurangan bahan makanan setiap kali tibanya bulan Ramadan dan Syawal termasuklah tepung, gula dan minyak masak.
“Apa yang paling mustahak kita tidak mahu orang ramai nanti berdepan dengan masalah tidak cukup barang keperluan oleh kerana penggunaan bahan-bahan yang disebutkan ini bertambah pada dua bulan ini nanti.
“Kalau boleh kita mahu pastikan orang ramai dapat bekalan yang cukup tanpa rasa risau kerana dengan penambahan kuota sebanyak 30 peratus ini nanti ia diharap mencukupi sehingga hujung Julai,” katanya kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Mohamad juga turut mengingatkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua penganjur bazar Ramadan agar tidak mengenakan caj tinggi kepada para peniaga sepanjang Ramadan kali ini.
Untuk itu kata beliau, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua PBT di ne­geri ini supaya kadar sewa untuk para peniaga di negeri ini tidak dinaikkan dan tidak terkecuali mana-mana tapak yang diserahkan di sini PBT kepada koperasi mahupun persatuan untuk disewakan.
“Apabila sewa jadi tinggi maka barangan yang akan dijual secara langsung akan dinaikkan dan ini sepatutnya tidak berlaku dan apa yang kita buat ini adalah untuk pastikan akhirnya nanti orang ramai tidak terbeban dengan harga barangan.
“Kepada peniaga pula saya nasihatkan janganlah ambil kesempatan, jadikan ia sebagai satu ibadah menyediakan juadah berbuka puasa. Untung boleh tidak ada masalah tetapi jangan sampai melampau, itu berdosa,” katanya.

No comments:

Post a Comment