Powered By Blogger

Wednesday 25 June 2014

Memperkasa Amalan Sunnah Nabi Menerusi Pembacaan Kitab



SEREMBAN, 24 Jun – Usaha dalam mengembangkan syiar Islam di Negeri Sembilan terus diperhebatkan menerusi penganjuran Majlis Pengkhataman Hafazan Al-Quran Ke-11 yang diadakan di Masjid Negeri, malam tadi.
Hampir 2000 umat Islam hadir memeriahkan majlis anjuran bersama Kumpulan Pendidikan As-Sofa dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan.
Majlis itu turut dihadiri tiga ulama terkenal Mesir dan Maghribi iaitu Syeikh Dr. Sayyid Abdul Mun’im Ibn Abdul Aziz, Syeikh Dr. Mahmud Said Ibn Muhammad Mamduh Al-Syafi’e dan Dr. Al-Sayyid Hassan Ammari.
Objektif utama penganjuran kali ini adalah untuk membuktikan bahawa usaha menyebarkan hadis sebagai rujukan ilmu terus dipergiat selain usaha galakan amalan sunnah Nabi Muhammad SAW menerusi pembacaan kitab-kitab.
Selain itu, program ini bertujuan bagi pengkhataman Kutub Sab’ah Ke-2 dan Sahih Bukhari Ke-3 yang jelas perlu diambil kira sebagai usaha meneliti kandungan yang diamanatkan kepada seluruh umat Islam untuk difahami.
Program ilmiah seperti ini perlu diteruskan serta dibukakan kepada masyarakat agar seluruh institusi khususnya institusi agama di negara ini mempertingkatkan kaedah-kaedah penerapan syiar Islam.
Terlebih dahulu, Menteri Besar turut menyampaikan sijil-sijil pengkhataman kepada pelajar-pelajar As-Sofa yang telah khatam kitab suci Al-Quran.
Majlis berakhir dengan penyampaian anugerah Tokoh Ulama Islam Dunia bagi tahun 2014 oleh Dr. Al-Sayyid Hassan Ammari kepada Pengerusi Akidah MAINS merangkap Pengerusi Kumpulan Pendidikan As-Sofa, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin.
Turut hadir, Ketua Hakim Syari’e Negeri Sembilan, Y.A. Dato’ Mohd. Shukor Shabudin dan Setiausaha MAINS, YBhg. Tuan Kamal Amran Bin Kamaruddin.

No comments:

Post a Comment