Thursday, 12 June 2014

Pergerakkan Harga Kawalan


SEREMBAN, 11 Jun – Ramadhan dan musim perayaan datang lagi. Bermulalah kegusaran dalam kalangan pengguna berkaitan dua perkara ini.  Ia seolah-olah sudah menjadi tradisi di musim perayaan, kerisauan pertama masalah kekurangan bekalan barangan keperluan asas dan kebimbangan kedua ialah isu kenaikan harga.
Ayam, daging, gula, tepung, minyak masak dan bawang adalah antara barangan yang sering berdepan masalah apabila peniaga dan penjaja sewenang-wenangnya menaikkan harganya dengan alasan kekurangan bekalan.
Justeru, piha kerajaan Negeri Sembilan telahpun mengambil pendekatan khusus mengenai permasalahan ini dengan mendapatkan kuota yang lebih bagi barangan keperluan asas dan akan memantau pergerakkan harga kawalan dari pemborong agar tidak mendatangkan kenaikan harga kepada peruncit seterusnya kepada pembeli.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjelaskan perkara demikian ketika sidang akhbar di Wisma Negeri, hari ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan turut akan membuat pemantauan di gudang-gudang pemborong barangan keperluan asas agar tidak terdapat isu menyembunyikan barangan ataupun menyimpan dengan sengaja barang-barang keperluan tersebut, seterusnya menjadikan harga melambung kepada pembeli.
“Kita juga akan mengeluarkan senarai barang-barang keperluan yang mendapat kuota lebihan tersebut dengan harga yang telah ditetapkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment