Tuesday, 12 June 2012

Negeri Sembilan langsai hutang KWAP RM250 juta


SEREMBAN 28 Julai 2011 - Kerajaan negeri berjaya melangsaikan hutang RM250 juta dengan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dalam tempoh lima tahun ditetapkan sekali gus membuktikan pengurusan kewangannya yang cekap.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, wang pinjaman tersebut telah digunakan bagi menyelesaikan pengambilan tanah seramai 513 peneroka Felda Bandar Seri Sendayan dekat sini 10 tahun lalu.

''Saya amat bersyukur hari ini dan berasa lega kerana kerajaan negeri telah berjaya melangsaikan pinjaman sebanyak RM250 juta termasuk kadar faedahnya sebanyak RM68 juta itu.

''Sewaktu kerajaan negeri berhasrat menyelesaikan masalah itu pada 2005, tiada institusi kewangan dan bank yang sanggup memberikan pinjaman kecuali KWAP," katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Pembayaran Pinjaman Kerajaan Negeri Sembilan Kepada KWAP di sini semalam.

Beliau memberitahu, setiap peneroka ketika itu menerima pampasan hampir RM550,000.
''Pinjaman itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah peneroka terbabit, malah kerajaan negeri turut dapat melaksanakan beberapa projek pembangunan seperti pembinaan rumah murah dan penempatan baru di kawasan berkenaan," ujarnya.

Mohamad menambah, kejayaan membayar semula pinjaman itu sekali gus menafikan tohmahan serta dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan negeri sudah bankrap dan tidak mampu membayar gaji kakitangan mereka

Katanya, lebih menggembirakan apabila kawasan tersebut kini semakin maju dan kian berkembang pesat serta menjadi tumpuan pelabur dari dalam dan luar negara termasuk pembangunan institusi pendidikan di sekitarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd. Noh ketika ditemui berkata, kerajaan negeri wajar dipuji kerana berjaya membayar semula pinjaman tersebut tepat pada masa yang ditetapkan.

''Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang KWAP memberikan pinjaman dan ketika itu saya yakin dengan kredibiliti kerajaan Negeri Sembilan.

''Kerajaan negeri boleh dianggap sebagai Good Paymaster dan kita tidak akan teragak-agak memberikan pinjaman untuk disalurkan bagi pelaksanaan projek pada masa depan," ujarnya.


No comments:

Post a Comment