Tuesday, 28 February 2012

RM110j naik taraf jalan raya





SEREMBAN 27 Feb. - Sebanyak RM110 juta bakal dibelanjakan bagi menampung kos pelaksanaan dua projek menaik taraf jalan di sekitar bandar ini yang akan dijalankan bermula awal bulan depan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Dr. Roslan Md. Taha berkata, peruntukkan tersebut membabitkan projek menaik taraf Jalan Seremban-Bandar Sendayan dan pembinaan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd., (Lekas) di sini.

"Bagi kerja menaik taraf Jalan Seremban-Bandar Sendayan sejauh lapan kilometer itu ia melibatkan kos RM20 juta," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabat JKR negeri di sini hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan projek tersebut bertujuan melancarkan lagi aliran trafik di kawasan berkenaan berikutan peningkatan jumlah kenderaan dan penduduk di kawasan berhampiran seperti Bandar Enstek dan Bandar Sendayan.

"Projek ini juga bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dari negeri ini yang semakin gemar menggunakan jalan terbabit sebagai laluan alternatif menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor," katanya.

Tambah Roslan, sebanyak RM90 juta pula akan dibelanjakan bagi menampung kos pembinaan persimpangan bertingkat Lekas di sini dalam usaha melancarkan pergerakan trafik keluar dan masuk kenderaan dari lebuh raya berkenaan ke bandar ini.

"Apabila projek ini siap kelak, ia diyakini berupaya mengurangkan kesesakan lalu-lintas di simpang tiga masuk dan keluar dari lebuh raya berkenaan yang menghubungkan bandar ini dan Kuala Pilah terutama menjelang musim cuti dan perayaan," ujarnya.

Roslan memberitahu, peruntukan bagi projek berkenaan telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) fasa pertama.

No comments:

Post a Comment