Powered By Blogger

Sunday, 5 February 2012

Masaalah Banjir Perlu Kerjasama Semua Pihak.




 Masalah banjir kilat di Temiang dan Sikamat dekat sini mampu diatasi sekiranya pemimpin setempat dapat menyakinkan penduduk merobohkan binaan yang dibuat di tebing sungai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan jentera berat dibawa masuk untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai yang dapat menghalang banjir.

Beliau berkata, beberapa percubaan telah dibuat sebelum ini bagi membawa masuk jentera tersebut tetapi gagal berikutan binaan yang terlalu rapat di tebing sungai.


"Masalah bertambah teruk apabila ada dalang daripada parti pembangkang yang cuba menjadi hero sehingga penduduk enggan membenarkan jentera masuk untuk membuat penyelenggaraan," katanya kepada para pemberita selepas melawat Kampung Baru Sikamat dekat sini hari ini.

Sebanyak 18 rumah di kampung berkenaan dilanda banjir kilat selepas hujan lebat pada kira-kira pukul 5 petang semalam.

Dalam kejadian itu, rumah penduduk dinaiki air sehingga paras 0.9 meter sebelum air surut kira-kira 90 minit kemudian.

Banjir kilat turut melanda beberapa kawasan di pusat bandar itu.

Mohamad berkata, banjir kilat itu melanda akibat jumlah air hujan yang tinggi selain keadaan Sungai Temiang yang melalui kampung berkenaan yang agak sempit dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

Menurutnya, kerajaan sudah bersiap sedia melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai di situ dengan segera sekiranya penduduk bekerjasama merobohkan binaan di tebing sungai.

"Saya juga meminta penduduk tidak membuang sampah ke dalam sungai kerana ia juga adalah punca banjir kilat," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sikamat, Wong Phui Kan berkata, beliau akan berunding dengan penduduk kampung itu supaya bersetuju dengan permintaan pihak berkuasa merobohkan binaan di tebing sungai.

"Masalah ini sudah lama berlaku dan saya harap kali ini penduduk akan bersetuju dengan permintaan supaya binaan tersebut dirobohkan," katanya.

No comments:

Post a Comment