Powered By Blogger

Tuesday 12 June 2012

RM222 juta bina kilang EAT


SEREMBAN 7 Mac 2012 - Pemegang saham dan rakan teknologi serta teknikal Perodua, Daihatsu Motor Company (Daihatsu) akan memulakan pembinaan kilang Transmisi Automatik Elektronik (EAT) yang pertama di rantau ini di sini.


Daihatsu melalui anak syarikatnya, Akashi Kikai Industry (M) Sdn. Bhd. (Akashi Kikai) memperuntukkan modal sebanyak RM222 juta untuk tujuan itu dan akan memulakan kerja-kerja pembinaan di Bandar Baru Seri Sendayan, dekat sini mulai bulan ini.


Kilang itu dijangka beroperasi menjelang November 2013 dengan pekerja sebanyak 120 orang.


Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kilang EAT itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Daihatsu untuk melabur di negara ini serta detik penting terhadap pelan strategik 5 tahun Perodua.


"Kami gembira Malaysia telah dipilih untuk projek ini kerana ia menunjukkan negara ini masih menjadi destinasi pilihan pelabur," katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah antara Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan (MBI), pemaju, BSS Development Sdn. Bhd dan Akashi Kikai.


Majlis itu dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan, Pengarah Urusan Akashi-Kikai Industri (M) Sdn Bhd, Hideki Nomura, Presiden Akashi-Kikai Industri (M) Sdn Bhd, Noriyoshi Matsushita (tiga dari kiri), Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, Pengarah Urusan BSS Development Sdn Bhd, Datuk Lee Tian Hock dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Datuk Mohamad Haslah Amin.


Akashi Kikai terlibat dalam pengeluaran dan penjualan unit transmisi automatik yang dikawal secara elektronik.
Tanah yang dibeli bagi pembinaan kilang itu adalah seluas 13,000 meter persegi dengan keluasan awal kilang adalah kira-kira 13,000 meter persegi.

No comments:

Post a Comment