Piala Malaysia akhirnya kembali ke Negeri Sembilan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila kebangkitan pada 10 minit terakhir oleh anak-anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah berjaya membenam Terengganu 2-1 dalam pentas akhir di Stadium Shah Alam, semalam.
Di hadapan 70,000 penonton, penyerang veteran, Hairuddin Omar atau 'Hai-O' membuktikan dia membawa tuah kepada Negeri Sembilan apabila jaringannya pada minit ke-86 memastikan Terengganu pulang hampa, walaupun skuad Penyu berkelebihan satu gol menerusi Mohd Ashaari Samsudin (minit ke-59).
Jaringan kemenangan Negeri Sembilan berpunca melalui hantaran silang Shukor Adan dari sebelah kanan yang bertukar hantaran dengan Shahurain Abu Samah, Hairuddin melepaskan sepakan sepakan gunting yang cantik tepat ke penjuru kanan gawang tanpa dapat dijangkau oleh Sharbinee.
Sebelum itu, N. Sembilan menyamakan kedudukan hasil jaringan S.Kunalan (minit ke-81).
Bertambah manis, pemain yang berasal dari Setiu, Terengganu itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.
Ini merupakan gol ketiga berturut-turut buat pemain berusia 32 tahun dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia.
Ia juga merupakan kejayaan kali ketiga peribadinya menjulang trofi itu, selepas juga bergelar juara ketika bersama Kelantan musim lalu dan Negeri Sembilan pada 2009.
Kejayaan semalam juga merupakan kali ketiga buat Negeri Sembilan bergelar juara Piala Malaysia.
Sebelum ini mereka memenanginya pada tahun 1948 dan dua musim lalu iaitu pada 2009.
Sementara itu, Hairuddin berkata, walaupun Negeri Sembilan ketinggalan satu gol, pemain tetap tidak berputus asa dalam memburu gol.
Menurutnya, sejak awal perlawanan lagi Negeri Sembilan sebenarnya memiliki banyak peluang gol namun agak malang ia gagal menemui penyudah.
"Ketika kedudukan terikat 1-1, saya tengok jam masih ada 15 minit lagi perlawanan.
"Jadi saya rasa saya perlu buat sesuatu untuk pasukan.
" Lalu saya tekad jika ada peluang gol selepas ini, saya tidak akan mempersia-siakan.
"Akhirnya peluang gol yang saya harapkan menjelma pada minit ke-86 dan saya gembira kerana berjaya menyempurnakannya, sekali gus menjadi gol kemenangan perlawanan akhir musim ini," katanya.
Menyedari ramai yang kecewa dengan jaringan kemenangannya, Hairuddin turut memohon maaf kepada semua penyokong Terengganu yang menyaksikan perlawanan semalam juga yang berada di Terengganu.
Ini kerana jaringannya semalam mengecewakan negeri kelahirannya untuk bergelar juara.
"Saya meminta maaf kepada mereka (penyokong Terengganu). Saya faham mereka tentu kecewa dengan kekalahan ini. Saya juga harap mereka tidak membenci saya," katanya.
"Saya harap penyokong Terengganu, faham saya adalah pemain Negeri Sembilan dan komited dengan pasukan yang saya wakili," katanya.
No comments:
Post a Comment