Keupayaan kerajaan negeri melunaskan
hutang pihak Perbendaharaan melalui Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) ketika
menyelesaikan kemelut penduduk Felda Sendayan pada 2005, amat dipuji.
Apa tidaknya, kesungguhan itu telah
membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Menteri Besar,
Datuk Seri Mohamad Hasan sentiasa memikirkan kaedah dan cara terbaik untuk
bebas daripada beban hutang.
Pada masa sama, kerajaan negeri juga
begitu peka memikirkan kesejahteraan rakyat biarpun perlu melakukan tindakan
drastik yang akhirnya melegakan banyak pihak khususnya rakyat.
Kerajaan Negeri dapat membayar hutang yang
diambil melalui KWAP berjumlah RM250 juta hasil daripada perjanjian jual beli
tanah antara pihak syarikat yang ditubuhkan Kementerian Kewangan, 1Malaysia
Development Bhd. (1MDB) dengan Menteri Besar Incorporated (MBI), anak syarikat
kerajaan negeri.
"Perjanjian jual beli itu telah
selesai dan pihak 1MDB telah membayar 100 peratus kos pembelian itu kepada
MBI," katanya di sini, baru-baru ini.
Perkembangan itu nyata menyangkal
dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri tidak bijak mengendalikan kewangan
sehingga ada yang menuduh kerajaan bankrap.
"Kita pinjam RM250 juta dan
sehingga kini telah membayar faedah untuk tempoh lima tahun sebanyak RM60 juta.
Baru-baru ini, kita membuat pembayaran melalui bank draf kepada KWAP sebanyak
RM262 juta termasuk kadar faedah untuk tempoh enam bulan," katanya.
Nyata keupayaan itu melegakan rakyat
negeri ini apatah lagi dengan hutang yang sudah dilunaskan, ia menyaksikan
perkembangan rancak pembangunan terutama di kawasan Sendayan dan Enstek.
Perjanjian jual beli tanah antara
1MDB dan MBI di Sendayan itu dilakukan untuk pembinaan Pangkalan Tentera Udara
Diraja Malaysia (TUDM) yang baru selepas pangkalan di Sungai Besi, Kuala Lumpur
ditutup bagi pembangunan Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima).
"Perjanjian ini juga
membolehkan kerajaan negeri menjelaskan hutang lain dengan pihak institusi
kewangan," katanya.
Mohamad juga pernah dipetik sebagai
berkata, rezab kerajaan negeri ketika ini hampir RM500 juta, malah pengurusan
kewangan kerajaan negeri telah mencatat lebihan sebanyak RM74 juta pada 2009
dan RM61 juta pada tahun lalu.
Ini dibuktikan melalui laporan Ketua
Audit Negara yang menunjukkan kecekapan pengurusan kewangan kerajaan negeri
apabila Pejabat Kewangan Negeri mendapat penarafan empat bintang.
No comments:
Post a Comment