Powered By Blogger

Sunday 31 March 2013

Sektor pelancongan jana pendapatan





Port Dickson, 19 Jan – Usaha Kerajaan Negeri membangunkan dan mengembalikan kegemilangan Port Dickson sebagai lokasi peranginan dan pelancongan di negeri ini menampakkan hasil.

Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir bagi menyempurnakan dan merasmikan fasa pertama PD Waterfront dan Pelancaran Boutique Suites di Perkarangan Port Dickson, malam tadi.

Di dalam ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada TSR Group kerana telah melihat bahawa kawasan ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan seterusnya menyahut cabaran Kerajaan Negeri mahu melihat kegemilangan bandar Port Dickson yang satu ketika dahulu malap kini bergemerlapan semula.

Ujar beliau, “Setelah fasa pertama siap dibangunkan, kita telah melihat bukan sahaja penduduk di Port Dickson malah penduduk negeri ini mendapat kesan baiknya. Kerajaan Negeri turut berharap agar pembangunan PD Waterfront ini menjadi satu projek yang melonjakkan ekonomi Negeri Sembilan di dalam unjuran pendapatan sekurang-kurangnya 30% pada tahun 2020.”

“Kerajaan Negeri juga mahu melihat kawasan-kawasan yang berpotensi di seluruh negeri ini supaya dibangunkan untuk kawasan pelancongan. Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Sembilan (MTENS) akan sentiasa membuka peluang ini.” tambah beliau.

Katanya lagi, “Kerajaan Negeri juga mahu melihat isu-isu yang berkaitan kebersihan turut diambil berat supaya pencemaran air tidak berterusan. Ianya bukan sahaja akan memberi nilai tambah kepada industri ini, malah sekira ianya dititikberatkan maka tidak mustahil pantai Port Dickson akan menjadi satu pantai yang bersih dan indah.”

Beliau juga menjelaskan bahawa projek menyediakan sistem kumbahan berpusat di daerah ini telah pun siap dan Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua industri termasuk premis perniagaan, perhotelan dan sebagainya dikehendaki menyambung sistem kumbahan kepada sistem yang disediakan ini.

Turut hadir, Dato’ Abdul Razak Mansor, YDP Dewan Undangan Negeri berserta isteri, Dato’ Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Noor Abdul Rahim, Pengerusi TSR Group dan Tan Sri Lim Kuan Yeaw, Timbalan Pengerusi TSR Group.

No comments:

Post a Comment