Monday, 19 May 2014

Majlis Makan Malam Jalinan Kasih 2014


SEREMBAN, 17 Mei – Gabungan tenaga Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) dengan kerjasama pengurusan serta Alumni SMKA Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) bagi menjayakan penganjuran Majlis Makan Malam Jalinan Kasih 2014 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan,yang diadakan di Dewan Serbaguna MPS, Seremban.
Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya menyatakan, hubungan ukhuwah yang erat dapat dijalin dalam kalangan semua warga SHAMS melalui majlis yang diadakan seperti ini selain memberi peluang dan ruang bagi membantu menaikkan nama SHAMS sebagai sebuah Institusi Pendidikan Islam yang terunggul di Malaysia.
“Perkongsian pintar diantara Jabatan Pendidikan diseluruh Malaysia juga mampu membentuk aliran kecemerlangan pelajar dengan baik dalam usaha memastikan setiap kaedah pelaksanaan pembelajaran kekal berjaya”, tambahnya lagi.
Menurut beliau, dorongan berterusan perlu diberikan khususnya oleh para guru dan juga ibu bapa bagi memastikan budaya kecemerlangan pelajar dapat ditingkatkan.
Beliau turut menyerahkan cek replika berjumlah RM50,000 kepada PIBG SMKA Sheikh Haji Mohd Said dan berkesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga pendidik serta ibu bapa yang sentiasa memainkan peranan utama terhadap kejayaan pelajar.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Bin Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Hajah Kalsom Binti Khalid, Yang Di-Pertua PIBG SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Encik Mohd Hapizi Bin Mohamad Ali dan Pengetua Cemerlang SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Puan Hajah Lailawati Binti Ahmad.

No comments:

Post a Comment