Powered By Blogger

Thursday 5 March 2015

Kerajaan negeri tidak akan ‘lepas tangan’



TAMPIN . - Kerajaan negeri tidak akan ‘lepas tangan’ dalam memastikan tanah milik bumiputera khususnya di kawasan pinggir bandar tergadai begitu sahaja.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal itu perlu dipastikan supaya tidak ada pemilik tanah khususnya warga emas yang ditipu pihak broker tidak bertanggungjawab, yang mementingkan keuntungan berlipat ganda dalam usaha mendapatkan tanah berharga berkenaan.
“Bukan saya antipenjualan tanah, tetapi kerajaan negeri tidak mahu melihat berlakunya urusan yang tidak betul, selain mahu memastikan tanah milik bumiputera itu tidak tergadai begitu sahaja,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah Felcra Ulu Yuh Mukim Repah dan pemberian lot-lot Felcra Pondoi Mukim Tebong di Balai Raya Kampung Ulu Yuh, dekat sini hari ni.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Abd. Razak Ab. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Ramlee Abu Bakar dan Pegawai Daerah Tampin, Mohamed Roduan Ujang.
Kata Mohamad, kerajaan akan bertegas dalam hal itu termasuk mensyaratkan mana-mana pihak yang didatangi broker berkenaan supaya merujuk kes itu terlebih dahulu kepada kerajaan negeri untuk diperhalusi.
“Jika ada pihak yang mahu menjualnya juga, kerajaan akan meneliti pihak yang berminat itu supaya benar-benar ada sumber kewangan yang kukuh sebelum kelulusan diberikan,'' katanya sambil merujuk kawasan tumpuan adalah di sekitar Seremban dan Port Dickson.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menyarankan supaya pemilik tanah adat yang sudah lewat usia segera menurunkan kuasa kepada waris terdekat.
“Ada pemilik tanah adat ini yang telah meninggal dunia dan tanah itu pula terdapat banyak nama. Itu amat rumit apabila ada yang berhajat menuntut sesuatu seperti dividen. Saya sarankan supaya segerakanlah mengambil kuasa tanah dan bicara di pejabat tanah berdekatan.
“Apabila sudah diputuskan dan dipersetujui, maka berikanlah kuasa kepada waris yang dipilih itu sebagai pemilik baharu. Di Felcra umpamanya, dividen tidak dapat diberikan kerana pemilik tiada dan waris pula tidak ambil peduli untuk memillih pemilik baharu,” ujarnya.
Dalam majlis yang berlangsung hari ini, seramai 140 peserta Felcra Ulu Yuh menerima surat hak milik ke atas tanah yang dimilikinya sejak 1983 itu.
Seramai 90 peserta lain, melakukan undian plot-plot Felcra Pondoi Mukim Tebong, dekat sini.

No comments:

Post a Comment