Powered By Blogger

Thursday 5 March 2015

Belia perlu bersedia untuk menjadi anggota masyarakat



Seremban, – “Belia perlu bersedia untuk menjadi anggota masyarakat kepada negara berstatus negara maju menjelang tahun 2020,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
Beliau yang ditemui pihak media selepas Majlis Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Belia Negeri Sembilan Sidang Pertama Penggal Kedua menjelaskan betapa pentingnya golongan belia untuk bersama-sama membantu mencorakkan identiti negara di masa hadapan.
“Hasrat saya adalah untuk melihat belia Negeri Sembilan bersama-sama di dalam arus perdana dan memainkan peranan dengan baik bagi mendatangkan manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Selain daripada itu, beliau juga berpuas hati dengan peranan yang dimainkan belia Negeri Sembilan ketika ini yang pada pendapat beliau mempunyai kecekalan dan keyakinan diri yang tinggi untuk bergerak bersama kerajaan bagi membantu menjayakan dasar-dasar kerajaan khususnya bagi merancakkan pembangunan di Negeri Sembilan.
Mengakhiri sidang media, beliau melahirkan kebimbangannya mengenai kekurangan penglibatan golongan belia bukan bumiputera terutamanya dari kaum cina dalam aktiviti berpersatuan. Beliau meminta agar para belia dari kaum cina supaya lebih aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memainkan peranan mereka untuk menjadi tonggak kepada komuniti.

No comments:

Post a Comment