Powered By Blogger

Thursday 5 March 2015

Kembalikan Maruah Orang Melayu



Tanjung Ipoh – Bersatu padu merupakan kunci kesepakatan dan kekuatan orang Melayu untuk terus memelihara kesejahteraannya di bumi sendiri.
Pada situasi dan ketika orang Melayu kuat dan tidak di pandang hina oleh bangsa lain ialah ketika hubungan baik dan kesepakatan mereka terpelihara satu ketika dahulu, di mana bangsa lain berasa hormat dan segan.
Namun begitu sejak tiga pilihanraya umum yang lalu, berdasarkan kepada keputusan PRU yang diperolehi mendapati keputusan kemenangan dan keselesaan orang Melayu semakin susut dan terancam. Oleh yang demikian, orang Melayu perlu kembali bersatu padu.
Tegas Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Sukan 3 DUN di Bahagian Kuala Pilah di Dewan Orang Ramai Tanjung Ipoh, semalam.
Menurut beliau di dalam ucapan, keputusan drastik yang tidak pernah di duga oleh sebuah negara yang sedang dibina hasil kesukaran dan kepayahan pejuang terdahulu, menunjukkan bangsa lain telah menunjukkan pola pengundian yang tidak berselindung lagi.
Mereka tidak segan silu menunjukkan perubahan sokongan mereka apabila berlakunya masalah dalaman dan perpecahan orang Melayu yang sering bersengketa dan berbalah.
Menteri Besar berkata lagi, “dulu siapa berani mengusir dan mengadu domba, siapa yang berani menyentuh berkaitan hal ehwal Islam. Siapa pula yang berani menyentuh hak-hak ketuanan orang Melayu dan perlembagaan? Di tambah pula siapa yang berani menyentuh tentang institusi Raja-Raja Melayu?
“Dulu siapa yang berani menghina agama dan mempersoalkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam negara?
Keadaan semasa politik tanahair, semua dinasihatkan perlu peka, prihatin dan memikirkan nasib orang Melayu di masa akan datang. Jika terlalu leka, berselisihan faham sesama sendiri tidak mustahil agenda tersembunyi yang sedang di lakukan oleh mereka akan berjaya akhirnya.
Menteri Besar juga menegur, “jangan ingat orang Melayu tidak akan kalah, tidak boleh ditewaskan kerana jika terus alpa dan leka dengan perselisihan, orang Melayu akan tewas di bumi sendiri.”
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato’ Seri Hj Hasan Malek, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Dato’ Ismail Lasim, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Menanti, Dato’ Abdul Samad Ibrahim, ADUN Kawasan Pilah, Dato’ Norhayati Omar, ADUN Kawasan Juasseh, Dato’ Mohamad Razi Hj Kail dan ADUN Kawasan Johol, Tuan Hj Abu Samah Mahat.

No comments:

Post a Comment