Powered By Blogger

Tuesday 24 February 2015

Satu Perubahan Yang Holistik Demi Kesejahteraan Rakyat



SEREMBAN 22 Feb. - Negeri Sembilan menuju pembangunan yang rancak bermula tahun ini sehinggalah tempoh empat tahun akan datang apabila berada dalam jalinan pembesaran wilayah ‘Lembah Klang Yang Besar’. 


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, dalam memacu pembangunan berkenaan kerjasama pintar telah dilakukan termasuklah mendapat restu Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan satu perubahan yang holistik demi kesejahteraan rakyat.


“Dalam tempoh pembangunan itu kelak, Negeri Sembilan akan menerima pelbagai infrastruktur termasuklah jalan raya yang baharu.


“Kawasan Lembah Klang pada waktu ini sudah terlalu padat dengan pembangunan dan sebab itulah adanya jalinan pembangunan wilayah Lembah Klang Yang Besar ini,” katanya di sini hari ini.


Justeru kata beliau, akan wujud juga nanti sebuah kawasan pertumbuhan yang baharu dari Nilai hinggalah ke Port Dickson dengan melibatkan keluasan tanah yang besar.


“Apabila pembangunan itu melata kelak, beberapa lebuh raya baharu akan dibina termasuklah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Seremban dan dihubungkan pula ke Le­buhraya Kajang-Seremban (Lekas), manakala lebuh raya baharu akan dibina dari KLIA ke Port Dickson,” katanya.


Pada masa yang sama juga, Mohamad menegaskan perkhidmatan kereta api elektrik dari Gemas ke Kuala Lumpur akan beroperasi seawal tahun hadapan.


Untuk itu katanya, akan dibangunkan sebuah stesen kereta api di bawah konsep Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan (TOD) di satu kawasan baharu. Turut dirancang kelak ialah memanjangkan laluan kereta api laju Express Rail Link (ERL) ke KLIA dari stesen baharu itu.


“Apabila itu berlaku kelak, orang ramai yang hendak menggunakan perkhidmatan kereta api boleh melalui stesen di situ, di mana akan ada perkhidmatan kereta api laju, kereta api elektrik selain perkhidmatan komuter. Pembangunan itu kelak akan lebih kurang sama seperti pembinaan stesen kereta api Seremban Sentral,” katanya.


Mengenai pelaburan terkini, Mohamad menjelaskan, beberapa kawasan industri di Nilai, Sendayan dan Enstek hampir diisi pelabur, terutama dalam industri bertek-nologi tinggi.


“Kawasan industri sekitar Sendayan dan Bandar Enstek di Nilai, telah dilabelkan sebagai kawasan industri berkategori ‘A’.
“Ini kerana, kerajaan mahu menyaksikan impak teknologi tinggi itu dapat membuka peluang baharu kepada anak tempatan bekerja dalam industri berkemahiran tinggi ini,” katanya.


Sementara itu, kata Mohamad pembangunan di daerah Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Tampin pula akan dibuat secara berinstitusi, iaitu membawa mana-mana institusi kerajaan membuka pejabat, kompleks atau pendidikan di kawasan terbabit.


“Umpamanya, membuka universiti atau institusi pendidikan. Akan ada nanti pelajar atau kakitangan yang tinggal di luar.


“Maka kita amat berharap akan berlaku pembangunan pesat se­perti perumahan, kompleks membeli-belah dibangunkan pihak swasta, selain ekonomi penduduk setempat yang dapat dilonjakkan,” ujarnya

No comments:

Post a Comment