Powered By Blogger

Tuesday 10 February 2015

Peraturan Baru



SEREMBAN - Peraturan baharu dikenakan terhadap mualaf di Negeri Sembilan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar iaitu menjaga kesucian Islam dan mempertahankan agama itu daripada dikutuk dan dihina hanya kerana perbuatan bersifat individu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbuatan bersifat individu telah menimbulkan kontroversi hingga mendorong kepada kehinaan terhadap undang-undang (legal disgrace) di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Maj­lis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, kelemahan pentadbiran dalam perkara berkaitan mualaf telah menyebabkan imej Islam tercemar akibat perbuatan oleh individu.

“Bukan kita tidak mahu mengalakkan individu memeluk Islam tetapi kita harus mempertahankan imej Islam dalam kerangka yang lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Taklimat MAINS kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah berkenan berangkat ke majlis taklimat itu yang me­nyentuh mengenai prestasi Mains dan perkembangan semasa.

Mohamad memberitahu, peraturan baharu itu mengkehendaki seseorang mualaf membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan mendaftar sebagai seorang Islam.

Katanya, pembubaran itu perlu dilakukan sekiranya pasangan mualaf berkenaan tidak mahu sama-sama memeluk Islam yang menjadikan institusi perkahwinan itu tidak lagi mempunyai sebarang makna kepada mereka.

“Mengikut hukum Islam mereka tidak boleh lagi hidup bersama. Mahu tidak mahu terpaksa bubar. Jika dia sudah masuk agama Islam baru hendak bubarkan, itu yang kadang-kadang timbul masalah. Lebih baik dia bubarkan sebelum didaftarkan sebagai mualaf,” ujar­nya.

Katanya, seorang saudara baharu juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan bahawa dia adalah seorang Islam.

“Langkah ini penting kerana dapat mengelak daripada perbuatan berebut jenazah apabila seorang mualaf meninggal dunia,” katanya.

Tambahnya, peraturan baharu itu telah mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ia tidak perlu dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mohamad menarik perhatian, langkah mengukuhkan peraturan berkaitan mualaf akan dilakukan sehingga sampai ke satu peringkat yang mana sekiranya peraturan itu dicabar di mahkamah sivil sekali pun, ia tidak akan berhadapan dengan masalah.

No comments:

Post a Comment