REMBAU 15 Nov. - Penganjuran Program Gerbang Kerjaya yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong di sini hari ini, menjadi platform terbaik untuk para penuntut menentukan hala tuju dalam aspek pemilihan kerjaya masing-masing.
Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan, Saari Salleh berkata, program tersebut merupakan usahasama dengan syarikat industri ke arah membentuk revolusi dalam usaha mengembangkan perindustrian negara.
''Ia merupakan saluran yang bukan sahaja memberi pendedahan awal mengenai tentang peluang kerjaya, malah membuka ruang kepada pihak industri untuk memilih calon yang layak dalam bidang kepakaran yang diperlukan.
''Namun, apa yang lebih penting, inisiatif ini turut dapat memanfaat serta memudahkan para pelajar untuk mendapatkan maklumat yang tepat dalam menceburi bidang kerjaya pada masa akan datang," katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Perdana IKBN Chembong, di sini, hari ini.
Program itu dihadiri oleh 650 penuntut pusat kemahiran tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada 15 syarikat perindustrian.
Jelas Saari, program berkenaan yang masuk tahun kedua penganjuran, adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan institusi kemahiran tempatan sekali gus memenuhi pasaran kerja industri negara.
Sementara itu, Pengarah IKBN Chembong, Yusop Ibrahim, program yang menjadi acara tahunan itu dijalankan di setiap wilayah IKBN seluruh negara.
''Program ini membolehkan penuntut yang bakal menamatkan pengajian menceburi bidang yang mereka minati," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang peserta, Mohd Faiz Basir, 23, berkata, program tersebut dapat menambah input dirinya dalam proses mencari kerja yang bersesuaian dengan kemahiran yang dipelajarinya.
''Ia memudahkan para pelajar untuk mendapatkan infomasi terkini mengenai pasaran kerja sedia ada," jelasnya.
Bagi, Marzuki Abdul Razak, 24, program tersebut mengajar tentang kaedah serta memudahkan proses pencarian kerja.
Tambah, Farah Adha Zulhisyam, 18, karnival kerjaya tersebut membuka peluang kepada penuntut untuk memilih kerjaya serta industri yang bakal diceburi pada masa akan datang.
''Program ini amat membantu kami dalam usaha mencari kerja yang sesuai buat diri masing-masing kerana kita tahu apa keperluan serta syarat yang diperlukan bagi melayakkan diri untuk memohon sesuatu kerja itu," katanya.
Seorang lagi peserta, Noor Fadila Mohd Zin, 20, memberitahu, dia berharap program itu diperkembang dan diteruskan dari semasa ke semasa demi faedah semua pihak.
No comments:
Post a Comment