Thursday, 10 July 2014

Imbuhan Penjawat Awam Menjelang Bulan Syawal



SEREMBAN, 09 Julai – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dalam Sidang Akhbar Khas Mesyuarat Exco yang diadakan di Wisma Negeri tengah hari tadi, mengulas isu mengenai imbuhan penjawat awam menjelang bulan Syawal, agihan sumbangan zakat kepada golongan asnaf dan penganjuran program mantai perdana.

Kerajaan Negeri Sembilan telah memutuskan bahawa semua penjawat awam termasuk agensi-agensi serta anak syarikat akan diberi imbuhan hari raya menjelang bulan Syawal pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan imbuhan sebanyak RM 500 setiap seorang penjawat awam.

“Imbuhan ini akan dimasukkan sekali untuk gaji bulan Julai dan ia merangkumi semua penjawat awam termasuk yang bekerja kontrak dan sementara”, katanya.

Menurut beliau lagi, lebih 4000 orang penjawat awam bakal menerima imbuhan pada tahun ini.

Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan RM 2.2 juta bagi imbuhan ini tidak termasuk PBT dan juga agensi.

Agihan Sumbangan Zakat Kepada Golongan Asnaf

Kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Baitulmal Negeri Sembilan menjalankan tanggungjawab dengan mengagihkan sumbangan zakat kepada golongan asnaf.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, agihan sumbangan zakat kepada mereka yang layak menerima telah mencecah RM 6.2 juta setakat ini.

“Insha-Allah sehingga akhir bulan Ramadahn ini, agihan dianggar berjumlah hampir RM 9 juta ekoran terdapat beberapa kariah masjid yang belum menghantar senarai nama penerima yang benar-benar layak menerima”, jelasnya.

Bantuan khas ini telah dikategorikan iaitu tidak termasuk bantuan khas bulan RM 300 dan golongan fakir miskin akan diberi bantuan sebanyak RM200.


“Kegembiraan di Hari Kemenangan yang bakal disambut oleh seluruh umah Islam kelak akan dikongsi bersama selepas menjalankan ibadah puasa dengan sempurna”, tambahnya lagi.
Penganjuran Program Mantai Perdana



Program Mantai Perdana 2014 yang akan diadakan di tapak bekas Kem Paroi pada 25 Julai 2014 nanti merupakan penganjuran kali ke-7 oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, sebanyak 250 ekor lembu akan dijual kepada orang ramai dengan harga tetap yang dipersetujui RM 20.00 sekilo berbanding harga pasaran diluar.

Program yang diadakan ini juga melibatkan seramai 12 penyertaan dalam kalangan peniaga berjaya melalui perkongsian pintar bersama Kerajaan Negeri Sembilan dengan pengurangan harga yang akan diberikan.

“Setiap pembeli dihadkan kepada 2 kilogram daging setiap satu supaya tiada pihak luar yang mengambil kesempatan.

“Terima kasih kepada semua penternak yang mengambil bahagian demi menjayakan hasrat murni bagi menguntungkan semua pihak”, tambah beliau lagi.

Terdahulu, Menteri Besar turut menyampaikan cek sumbangan kepada 38 orang penerima yang layak memerlukan bantuan.

No comments:

Post a Comment