Powered By Blogger

Friday 7 December 2012

Group Relamping TNB seiring usaha Dasar Pencahayaan Kerajaan Negeri


Senawang, 04 Dis – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan melancarkan Group Relamping (Kumpulan Penyelengaraan Lampu Berkelompok) TNB di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Jaafar, Seremban, petang tadi.
Majlis dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
Ujar beliau ketika berucap, “Program ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang telah melaksanakan Dasar Pencahayaan yang diperkenalkan pada tahun 2008. Saya dukacita membaca berita, seorang bilal meninggal dunia di Johol, ketika dalam perjalanan ke masjid ketika waktu subuh. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku di kala zaman semakin maju dengan pesat.”

Beliau turut meletakkan sasaran masalah berkaitan lampu jalan ini dapat diselesaikan penghujung 2013 dan memastikan tiada lagi kawasan di bandar, taman-taman perumahan, jalan kampung dan perkampungan bergelap. Projek ini turut mendapat kerjasama JKR.
Hasil kerjasama pintar Kerajaan Negeri dan TNB dalam menangani isu ini akan menyelamatkan lebih banyak nyawa lagi. Projek ini merupakan sesuatu yang unik, kerana menggunakan kaedah jangka hayat, iaitu ‘belum rosak sudah diperbaiki.
Beliau turut menyeru kepada penduduk Taman Tuanku Jaafar dan taman sekitar agar bersyukur kerana Taman Tuanku Jaafar,  merupakan lokasi pertama dan Negeri Sembilan merupakan negeri yang diberi keutamaan oleh TNB.
Menurut beliau lagi, “Di Taman Tuanku Jaafar sahaja, TNB telah membelanjakan RM500 ribu. Ianya akan dilaksanakan selama dua tahun di seluruh Negeri Sembilan yang akan menelan belanja RM14 juta.”
Bukan sahaja ia meningkatkan faktor keselamatan, ia turut membantu mengurangkan kes jenayah dan boleh dikira program serampang dua mata.
Menurut Datuk Wira Ir. Azman Mohd, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, “lampu jalan merupakan antara aduan yang tertinggi diterima oleh Pusat Pengurusan Panggilan Kami atau TNB CareLine. Walaupun ianya bukan sumber pendapatan utama, tetapi ia adalah salah satu pengukur utama prestasi TNB di mata masyarakat.”
Turut hadir, Dato’ Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Hj Ismail Lasim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Insfrastruktur Air, Tenaga dan Telekomunikasi dan Encik Kamal Arifin Abdul Rahman, Pengurus Besar Negeri (Negeri Sembilan) Bahagian Pembahagian TNB.

No comments:

Post a Comment