Friday, 7 December 2012

MBNS cetus idea wujudkan Okestra Simfoni Muda YNS




Sungai Gadut, 09 Nov – Hiburan bukan sesuatu yang melalaikan, malah ia merupakan satu seni kehidupan yang memberi kesan baik terhadap emosi, erti kata lain ianya mengambarkan satu motivasi terhadap manusia.
Malam tadi berlangsungnya Konsert Jalinan Budi 2012 (Sonata Sukma) yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri  dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Konsert ini berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad Sungai Gadut, Seremban.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, menjadi tetamu kehormat konsert tersebut. Beliau hadir bersama isteri, Raja Datin Hjh Salbiah Tengku Nujumuddin.
Persembahan okestra dikalangan pelajar sekolah berlangsung selama sejam tiga puluh minit dan mendapat pujian Menteri Besar yang kagum dengan kebolehan dan bakat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini.
Beliau difahamkan baru lima belas hari kumpulan okestra ini di latih di Kompleks Rakan Muda Jempol, namun 85%  markah diberikan pada persembahan yang menghiburkan dan amat cemerlang.
Beliau turut memuji semua tenaga produksi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi konsert malam ini dan mencungkil bakat-bakat baru di dalam bidang seni.
“Konsert malam ini merupakan konsert untuk kita menutup buku tahunan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan setelah semua pihak bertungkus lumus meletakkan taraf pendidikan negeri ini berada di dalam keadaan baik. Alhamdulillah, negeri semakin maju di dalam pendidikan serta pembangunan yang sedang rancak.”
“Hari ini juga kita sedang menuai hasilnya. Anak-anak telah melalui proses keseimbangan dan semulajadi. Mereka telah membuktikan cemerlang di dalam pelajaran, bidang yang diminati umpama sukan, berpesatuan malah berbakat seni. Paling penting, jangan kita lupa pembentukan jati diri.” Katanya.
“Tahun depan, saya mencadangkan untuk meletakkan satu bajet di Yayasan Negeri Sembilan (YNS) bagi menubuhkan Okestra Simfoni Muda YNS. Melihat pada persembahan yang cemerlang malam ini, sudah sampai masanya negeri ini mempunyai okestra sendiri agar dapat kita persembahkan di majlis-majlis.”
“Melalui Okestra Simfoni Muda YNS, akan melahirkan seramai mungkin bakat seni dan mengasah bakat semulajadi mereka.” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Dato’ Razak Mansor, YDP Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Shamsulkahar Mohd Deli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Sembilan.
Hadir sama, Dato’ Abdul Halim Abdul Razak, Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Pn Hjh Kalsom Khalid, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment