Powered By Blogger

Friday 7 December 2012

MBNS terima Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat


NILAI, 23 Nov – Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Tuanku Canselor Universiti berangkat mencemar duli ke Majlis Konvokesyen yang ke-10 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Stadium Tertutup Nilai, pagi tadi.
Turut hadir mencemar duli, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Mukhriz yang dilantik sebagai Pro- Canselor USIM dan Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Mukhriz.
DYMM Tuanku Ampuan Besar telah  berkenan   menyampaikan Anugerah Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, anugerah Gelaran Profesor Emeritus kepada Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj Hussin.
Dalam ucapan Menteri Besar, beliau menyatakan bahawa penganugerahan yang diterima sangat bernilai kerana sebagai pentadbir negeri tidak hanya bertanggungjawab ke atas pembangunan infrastruktur tetapi berkembang maju dari sudut ekonomi, ilmu, budaya, sosial dan pembangunan modal insan.
Beliau berkata, umat Islam perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi jasmani dan rohani.
“Disinilah peranan USIM sebagai gedung ilmu bagi melahirkan para graduan yang tidak hanya hebat dari segi akademik tetapi unggul dari sudut ilmu dan akhlaknya. Cabaran ini tidak hanya dipikul oleh para pentadbir dan pensyarah tetapi menjadi tanggungjawab kepada mahasiswa dan mahasiswi ,”ucap beliau.
Beliau mengingatkan mahasiswa dan mahasiswi agar menghargai dan menggunakan kesempatan semasa berada di universiti supaya menimba ilmu demi bagi memastikan diri masing-masing bersedia dalam menempuh arus globalisasi yang tidak mengenal sempadan kini.
Sebelum menangguhkan konvokesyen, DYMM Tuanku Ampuan Besar turut  menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada dua orang mahasiswi USIM Amirah binti Ahmad Ajazi dan Nurul Hayati binti Chamcuri, termasuk dua lagi mahasiswi yang masing-masing mendapat Anugerah Canselor dan Pingat Emas Naib Canselor.
Hadir sama, Raja Datin Seri Hjh Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Menteri Besar, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan, Naib-naib Canselor dan rektor IPTA/IPTS,ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti.

No comments:

Post a Comment