Powered By Blogger

Friday 7 December 2012

Peserta Homestay terima sumbangan RM2,500


RANTAU, 17 Nov. – Seramai 20 peserta yang memenuhi kriteria ditetapkan Kementerian Pelancongan terpilih mengendalikan Homestay Kampung Sogo (HKS) yang berlatar belakang kampung tradisional hari ini menerima sumbangan sebanyak RM2,500 setiap seorang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hadir di Majlis Santai Bersama Pemimpin bagi menyampaikan sumbangan tersebut di Perkarangan Pusat Daerah Mengundi Kampung Sega, petang tadi.
Dalam ucapan Menteri Besar, beliau menyarankan penduduk khususnya peserta homestay supaya menjaga kebersihan kampung agar dapat menarik minat pelancong asing menginap di perkampungan ini sekaligus mengelakkan sebarang penyakit yang mudah berjangkit.
Menurut beliau, sumbangan ini merupakan peruntukan yang telah dijanjikan ketika beliau hadir bagi menyampaikan sijil pendaftaran kepada 20 orang peserta homestay yang diadakan di perkarangan rumah Puan Salmah Bt. Zainal, April lalu.
“Diharap dengan sedikit sebanyak sumbangan itu peserta homestay dapat membaiki sebarang kerosakan, mengecat rumah, dan kerja-kerja yang berkaitan untuk penambahbaikan rumah induk agar pelancong di dalam mahupun luar negara berada dalam keadaan selesa,” ujar beliau.
Beliau yakin dengan aktiviti pelancongan inap desa membawa banyak faedah kepada penduduk negeri ini apabila sepanjang tahun lalu, seramai 11,000 pengunjung datang dan menginap di beberapa inap desa serta menjana pendapatan tahunan lebih RM1 juta.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan memasak kuih dan lauk, serta cenderahati kepada kanak-kanak yang akan bakal memasuki darjah satu pada tahun depan.
Selain itu, Kampung Sega Hulu Plantation telah menyumbangkan hadiah berupa basikal kepada lima orang pelajar cemerlang dari Kg. Sega Hulu, Kg. Sega Hilir dan Kg. Sega Tengah.

No comments:

Post a Comment