Powered By Blogger

Friday 7 December 2012

Imarahkan masjid dan jadikan sebagai pusat komuniti – MBNS


SEREMBAN, 04 Dis. – Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir ke Majlis Sepetang Bersama  Imam dan Ahli JawatanKuasa (AJK) masjid-masjid sekitar Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban petang tadi.
Majlis ini bertujuan untuk menyampaikan penganugerahan kepada masjid-masjid yang terpilih dan juga kepada tokoh-tokoh imam selain beramah mesra bersama Imam dan AJK masjid-masjid.
Dalam majlis itu, Menteri Besar berkata, “Imam dan AJK masjid perlu diberi pendedahan supaya dapat menjadi pemimpin yang boleh menimbang tara antara yang baik dan buruk agar sentiasa hidup dalam keadaan aman dan tenteram.”
Beliau menyatakan bahawa hasrat beliau adalah untuk melihat rakyat hidup dalam keadaan aman agar pihak kepimpinan dapat memajukan negeri tanpa menyingkirkan agama.
“Kita sudah pun mempunyai pelan pembangunan yang berstruktur baik dan ianya terbukti apabila diiktiraf sendiri oleh negara luar. Pembangunan ini akan diteruskan dan kerajaan akan sentiasa membangunkan negara dan menjangkau kemajuan tanpa mensasarkan agama Islam,”tambah beliau lagi.
Menteri Besar juga berharap agar masjid-masjid yang ada ini sentiasa diutamakan dan dijadikan sebagai pusat komuniti untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata,“Masjid adalah satu institusi yang baik, maka pihak pentadbiran masjid perlulah menguruskan setiap masjid dengan baik. Anjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan agar masjid dapat diimarahkan lagi dan dijadikan sebagai tempat tumpuan. Aktiviti kemasyarakatan juga dapat membentuk perpaduan antara umat Islam supaya kita akan menjadi lebih kuat.”
Menteri Besar turut menyampaikan empat anugerah kepada  masjid-masjid yang terbaik dan anugerah khas tokoh Imam kepada tiga orang Imam terpilih yang telah memberi khidmat selama lebih 20 tahun.
Selain itu, beliau turut menyumbangkan sumbangan khas dalam bentuk projek kepada setiap masjid terbaik yang mendapat anugerah.
Hadir sama, Dato’ Hj. Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Tuan Johani bin Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment