Powered By Blogger

Thursday 11 September 2014

Pertahankan Semangat Persaudaraan UMNO


JELEBU, 7 Sept – Pertahankan semangat persaudaraan dan kekeluargaan dalam parti Umno yang mesti kita kekalkan kerana ianya akan dapat diterjemahkan dalam satu perpaduan yang boleh ditonjolkan kepada masyarakat dan orang ramai sebagai suatu parti yang amat mantap yang bersatu padu dan berjalan seiring sebagai satu resepi menjadi Umno lebih kukuh dan kuat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan, menjelaskan perkara demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jelebu 2014 di Dewan D’Sury, hari ini.
Berucap dihadapan perwakilan dari seluruh cawangan bahagian Jelebu, beliau mahu setiap ahli mensasarkan gerak kerja yang lebih efisyen terutamanya bagi golongan ‘atas pagar’ yang masih terkeliru dengan visi parti untuk membela rakyat khususnya masyarakat melayu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, menyatakan bahawa setiap kepimpinan akar umbi perlu menonjolkan sikap positif dengan mengembalikan perpaduan kalangan ahli untuk memantapkan parti agar terus menjadi pilihan rakyat sebagai tempat untuk mereka meletakkan harapan.
“Kita perlu mengurus parti dengan baik kerana parti yang dilihat kelam-kabut, berpecah-belah dan sentiasa ada persengkataan dalaman menjadikan pengundi tidak yakin untuk meletakkan pengharapan mereka,” jelas beliau.
Tambah beliau, Umno perlu bekerja kuat, perlu kukuh, bersatu dari sekarang kerana ianya bukan sahaja untuk menempuh pilihanraya tetapi masa-masa yang jauh dari itu, untuk terus membela maruah dan martabat orang melayu dimasa akan datang.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Jelebu, YB Dato’ Jalaluddin Alias menyatakan ikrar untuk terus memperkasakan parti untuk pembelaan bangsa melayu.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Dato’ Awaluddin Said, Timbalan Ketua Umno Bahagian Jelebu, Tuan Hj Baharuddin Jali, Ketua Wanita Umno Bahagian, Zuraidah Mohd Zin, Ketua Pemuda Umno Jelebu, Mohd Aizil Bin Md Derus, Ketua Puteri, Rozilawati Abd Malik, Adun Klawang serta barisan kepimpinan Umno Bahagian Jelebu dan Penasihat Sosio Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Utama Tan Sri Dr. Rais Yatim.

No comments:

Post a Comment