Powered By Blogger

Wednesday 17 September 2014

Sambutan Hari Malaysia ke-51 Peringkat Negeri Sembilan 2014



Seremban, 16 Sept. – Menggunakan tema sama dengan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57, “Di sini Lahirnya Sebuah Cinta”, Sambutan Hari Malaysia ke-51 Peringkat Negeri Sembilan 2014 berjaya menterjemahkan kasih sayang warganegara pelbagai bangsa di negeri ini.

Bertepatan dengan kelainan konsep yang pertama kali di perkenalkan, Kerajaan Negeri menghargai usaha agensi penganjuran bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bercirikan teknologi tinggi serta menerap nilai patriotik dan sayangkan negara.

Idea memasukkan elemen sejarah negara mencapai kemerdekaan dan percantuman Sabah dan Sarawak di dalam Gagasan Malaysia pada 16 September 1963 dalam persembahan 3D memberi kelainan dan keterujaan pengunjung yang tidak melepaskan peluang meraikannya di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), hari ini.

Menyempurnakan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan. Mengiringi beliau, isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Hj Awaluddin Hj Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan.

Menteri Besar di dalam ucapan menyatakan, bahawa Kerajaan Negeri akan memberi peluang secara bergilir kepada jabatan dan agensi kerajaan di dalam penganjuran seumpamanya mulai tahun ini.

Katanya lagi, “kehadiran yang ramai di padang ini lahir dari keluhuran kasih sayang kepada negara dalam masa yang sama mengiktiraf dan mengangkat takwim penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa bernama Malaysia.”

“Tanggal ini merupakan tarikh penting dalam kronologi journal penubuhan negara berwibawa, negara maju di bawah kepimpinan progresif dalam menentukan halatuju negara.” ujar beliau lagi.

Namun begitu, nikmat kesyukuran beroleh kemerdekaan juga perlu diterap di dalam diri di samping berusaha untuk sama-sama meraih kecemerlangan selari dengan pengalaman dan keupayaan yang dimiliki sejak lima dekad yang lalu.

No comments:

Post a Comment