Wednesday, 28 January 2015
Zhuzhou Kibing Group Co.Ltd melabur RM600 juta
China, 27 Jan. – Zhuzhou Kibing Group Co.Ltd akan mengambil alih sepenuhnya Samsung Corning Precision Materials (M) di kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar, Senawang.
Syarikat ini menandatangani MoU bersama Kerajaan Negeri Sembilan dan MoU pengambilalihan Samsung Corning Precision Materials di Coastal Resort,Dongshan,China, 9.30 pagi semalam waktu negara China.
Menyaksikan majlis tandatangan MoU, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan yang melibatkan pelaburan awal sebanyak RM600 juta.
57 tahun penubuhan Koperasi Kemajuan Tanah Sega Rantau NS Bhd
Rantau – 57 tahun penubuhan Koperasi Kemajuan Tanah Sega Rantau NS Bhd 1947 amat membanggakan apabila di dalam tempoh tersebut koperasi ini masih wujud malah lebih kukuh kedudukannya dari segi pengurusan dan pentadbiran.
Dari hasil kerjasama setiap ahli di koperasi ini turut berjaya mengumpulkan beberapa aset dan keuntungan dikongsi bersama di kalangan ahli.
Hasil dari pengurusan yang cekap dan sistematik, koperasi ini juga telah mengwujudkan aturan-aturan kumpulan wang kebajikan am, aturan tabung pendidikan anak ahli koperasi aturan tabung khairat kematian yang menjaga kebajikan dan kesejahteraan di kalangan ahli.
Menteri Besar Negeri Sembilan hadir menyempurnakan mesyuarat agung tahunan ke-57 memuji di atas kemampuan koperasi ini bertahan sehingga lebih daripada 50 tahun.
Beliau berbangga dengan usaha dan kesepakatan di kalangan ahli lembaga pengarah dan di ahli-ahlinya yang menjadikan koperasi ini kukuh segala-galanya dari segi pengursan aset, pengurusan kewangan dan penguruan pentadbiran yang jarang mampu dilakukan koperasi lain yang pernah wujud.
Malah beliau berharap koperasi seumpama ini mampu bersaing dan berani menerokai pasaran pelaburan yang boleh meningkatkan pendapatan sedia ada.
Hadir sama,Pengerusi Koperasi Kemajuan Tanah Sega Rantau Negeri Sembilan, Tuan Hj Ismail Ibrahim dan Setiausaha koperasi sama, Tuan Hj Shamsudin Hj Mohamad.
Dewan Orang Ramai Taman Seremban Jaya
Senawang – Dewan Orang Ramai Taman Seremban Jaya, Senawang di bina di keluasan 8,084 meter persegi dengan keluasan lantai dewan 1,514 meter persegi di bina di Taman Seremban Jaya.
Dewan rekabentuk baru ini disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dalam tempoh dua tahun dan mempunyai ciri-ciri mesra masyarakat yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti majlis perkahwinan, aktiviti sukan, aktiviti masyarakat dan pelbagai lagi.
Dewan yang menelan belanja RM1.84 juta ini mula di bina pada 22 Oktober 2012 dan siap dibina pada 29 November 2014 dan diselia selenggarakan Majlis Perbabdaran Nilai (MPN).
Kemudahan yang terdapat di dewan ini ialah empat unit gelanggang badminton, pentas utama, surau, bilik persalinan, bilik utiliti dan stor juga kemudahan tempat letak kenderaan bagi golongan OKU, motorsikal dan kereta.
Menteri Besar di dalam ucapannya menyatakan komitmen Kerajaan Negeri di dalam menyediakan kemudahan yang boleh digunakan oleh orang ramai di dalam pelbagai aktiviti masyaraakat.
Malah kemudahan seumpama ini disediakan bukan sahaja untuk kegunaan masyarakat setempat, ianya boleh juga diguna dan disewa kepada orang luar yang mahu melakukan aktiviti di sini.
Beliau menasihatakan orang ramai yang mahu menggunakan kemudahan dewan ini agar berurusan dengan MPN dengan kadar sewaan yang memuaskan.
Nasihat beliau lagi agar masyarakat menjaga sebaik-baiknya kemudahan yang terdapat di dewan ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan, Tuan Hj Sabarudin Yeop Hamza.
Friday, 16 January 2015
Menuju fasa ekonomi yang mampat.
SENDAYAN, 15 Jan – Industri perkilangan di negeri ini merupakan penyumbang utama ekonomi negeri selain menyumbang kepada usaha kerajaan ke arah melonjakkan ekonomi negeri dalam menuju fasa ekonomi yang mampat.
Maka dengan itu, Negeri Sembilan menjadi pilihan ramai pelabur asing untuk melabur dan menjalankan aktiviti perusahaan mereka kerana dilihat sebagai suatu lokasi yang strategik dalam segitiga emas lembah klang.
Ini terbukti apabila pelabur dari Perancis, Safran Messier-Bugatti-Dowty Plant memilih Sendayan Tech Valley sebagai pusat operasi mereka. Safran adalah sebuah syarikat besar di dunia yang membekalkan brek karbon bagi kapal terbang.
Majlis pembukaan rasmi Safran Messier-Bugatti-Dowty Plant, telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhtiz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Hadir sama, YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, YAM Tunku Zain Al-A’bidin ibni Tuanku Muhriz dan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
YAB Menteri Besar ketika berucap, melahirkan rasa bangga atas pembukaan kilang yang berteknologi tinggi ini, dan pertumbuhan sektor industri akan menlestarikan lagi pembangunan di negeri ini.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri menyedari akan peranan dan sumbangan indusri perkilangan sebagai penyumbang utama ekonomi pembangunan negeri,” katanya.
“Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pakej-pakej simulasi ekonomi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang kian pesat di Negeri Sembilan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Safran, Jean Paul Herteman berkata, pemilihan Negeri Sembilan adalah kerana sikap ‘friend business’ yang diamalkan kerajaan negeri ditambah dengan insfrastruktur lokasi yang bersesuaian untuk membina kilang pengeluar terbesar di Asia Pasifik.
“Ini adalah kilang ke enam kami, dan ianya membekalkan 80% produk bagi pasaran antarabangsa dimana brek karbon keluaran kami ini mampu bertahan dalam suhu 2000’c,” jelasnya.
Umumnya, kilang Safran Messier-Bugatti-Dowty Aircraft Brakes Plant ini merupakan pengeluar aksesori kapal terbang dimana ianya mampu mengeluarkan 10 ribu unit dalam satu masa dimana setiap satu brek mempunyai 9 lapisan cakera karbon (disc).
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hasan, Pengerusi Messier-Bugatti-Dowty, Vincent Mascre serta berisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Thursday, 15 January 2015
Menangani bersama masalah banjir
Rantau – Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan secara pribadi bersetuju cadangan Kerajaan Campuran atau seumpamanya bagi menangani bersama masalah banjir yang kini melanda Pantai Timur.
Beliau ketika menjawab soalan wartawan di sidang media ringkas selepas menerima bantuan banjir dari Badan-Badan NGO Cina DUN Rantau di S.R.J.K (C) Chung Hua, Rantau, mengingatkan rakyat negara ini bahawa sesungguhnya negara Malaysia ini merupakan sebuah negara yang kecil dan perlu diurus dengan terbaik mungkin.
Ujarnya, “Janganlah kita terlampau berpisah sangat dengan parti kerana fahaman, kita tidak mampu untuk tidak kuat, kita tidak mampu untuk tidak bersatu kerana negara kita.. kerana ekonomi dalaman kita tidak begitu besar. Sudah lah tidak besar, kita berpecah pula lagi. Kita tidak akan kemana.
“Jadi apa sahaja cadangan untuk menyatu padukan rakyat Malaysia dari segi perpaduan akar umbi mahupun di peringkat pengurusan parti atau peringkat parti adalah cadangan yang sangat dialu-alukan.
Menteri Besar menegaskan bahawa rakyat negara ini perlu berpandangan jauh ke hadpan untuk menuju ke arah yang lebih baik lagi di saat dunia kini menghadapi pelbagai krisis yang tidak menentu.
“Dengan terjadinya bencana alam ini, saya yakin dan percaya, masyarakat boleh buka mata dan buka minda supaya tidak lain dan tidak bukan kita mampu bersama-sama dalam apa juga keadaan.” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat negara ini berhenti bergaduh sesama sendiri kerana banyak perkara dan masalah lain yang perlu difikirkan.
“Dah habis pilihanraya, habislah.. lepas lima tahun kita serah semula kepada rakyat untuk menilaikan. Kita perlu gentlemen dan berfikir sebagai seorang pemimpin. Sebagai pemimpin kita tidak boleh musnahkan segala apa yang ada.” tegasnya lagi.
Memperkemaskinikan Kaedah Gerak Kerja
Seremban – Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan mengambil ketetapan menyelaras dan memperkemaskinikan kaedah gerak kerja dengan lebih baik lagi agar dapat dipertingkatkan dengan penuh keberkesanan.
Perubahan dan penyelarasan ini amat perlu agar perkhidmatan Kerajaan Negeri melalui jabatan-jabatan dan agensi-agensi mendapat maklum balas baik di kalangan masyarakat yang sentiasa berurusan.
Gerak kerja seumpama ini telah bermula sejak kemasukan tahun baru 2015, dan segala kelemahan dan ruang yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dilaksanakan dengan kadar segera.
Setiap perubahan gerak kerja akan di maklumkan melalui surat pekeliling dan Kerajaan Negeri juga akan mengadakan sessi mendengar, sessi bual bicara dan sessi perbincangan gerak kerja bagi semua peringkat agar proses perkhidmatan tidak tergendala sebegitu lama.
Terutamanya melibatkan Peraturan-Peraturan Kewangan dan Perbehandaraan yang sebelum ini dimerterai secara manual sebelum kewujudan sistem pengkomputeran.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berkata demikian di Sidang Media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat tersebut juga memaklumkan bahawa ketetapan telah di ambil untuk menyelaras sistem gerak kerja yang perlu dilakukan secara manual ini.
Beliau juga telah meminta Pejabat Tanah Daerah (PTD) mengeluarkan arahan kes Proses Tanah di negeri ini.
Menurut beliau, “Orang ramai salah faham, pegawai dan penjawat awam juga salah faham sehingga terdapat pelbagai pengertian terhadap Kanun Tanah Negara. Tanah tol misalnya, ia merupakan pegangan sementara yang memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Segalanya mesti diluluskan.
Menteri Besar menjelaskan, “Setelah mendapat kelulusan, selepas tiga kali selepas tahun pertama, ianya boleh diperturunkan dan diperbaharui di Peringkat Pejabat Tanah sahaja. Kemudiannya, masuk tahun keempat dan memasuki 1/3 tempohnya, pada tahun kelima, kebenaran dan kelulusan di Pihak Berkuasa Negeri dimestikan. Ini bermakna, selepas lima tahun, Pejabat Tanah perlu ke Pentadbiran Pihak Berkuasa Negeri.”
Beliau mengambil contoh tanah tol tidak dapat diselesaikan dan berlarutan sehingga bertahun-tahun kerana tidak di bawa dan diperbaharui di Pejabat Tanah. Malah, ianya juga tidak mengikut pada seksyen 67 Kanun Tanah Negara.
Tegasnya lagi, “ini yang perlu diperbaiki dan supaya semua orang faham dan tidak berlaku lagi kekeliruan di peringkat masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian juga diarahkan untuk melihat dan meneliti semua tanah berstatus tol agar kekeliruan ini dapat diperbetulkan dan difahami oleh orang ramai.
Kerajaan Negeri juga mahu keberkesanan jentera pentadbiran ini diperkasakan agar memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Kerajaan Negeri di Mesyuarat EXCO hari ini juga telah meluluskan Kertas Dasar iaitu “Memperincikan Cukai Tanah Mengikut Kategori”.
Kategori seperti Cukai Perkhidmatan Perniagaan dan Perindustrian di asingkan. Begitu juga bagi cukai pertanian dan perumahan. Ianya ditentukan pada kadar cukai tahunan yang dinamakan sebagai “Status Harta Khas” bagi setiap jenis kategori.
Monday, 12 January 2015
Sukarelawan bagi kerja-kerja pasca banjir
Sukarelawan Negeri Sembilan dari pelbagai agensi, jabatan dan badan NGO antara paling aktif menghulurkan bantuan keperluan asas dan sukarelawan bagi kerja-kerja pasca banjir ketika ini.
Bantuan bertali arus hari demi hari terutamanya ke negeri Pahang dan Kelantan, malah usaha ini mendapat sokongan padu dari Kerajaan Negeri Sembilan dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan melepaskan Dua Kumpulan Sukarelawan Bantuan Kemanusian Banjir Pantai Timur dari Kumpulan Pentadbir Kerajaan Negeri Sembilan dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Seremban.
Misi kemanusiaan kali ini dianggotai oleh kekuatan sukarelawan seramai 300 orang yang terdiri daripada penjawat awam, ahli Pemuda UMNO Negeri Sembilan dan Sukarelawan Wataniah 508 yang akan bergerak ke Negeri Kelantan dan Pahang, seperti yang dijadualkan.
Menteri Besar di sidang media memaklumkan bantuan ketika ini masuk ke fasa pasca banjir, dan negeri ini antara yang aktif menghulurkan bantuan di saat ketika banjir dan sehingga kerja-kerja pembersihan kawasan.
Malah, Negeri Sembilan bakal menghantar pakar memperbaiki rumah dengan memastikan anggaran kos baik pulih ditentukan selepas pulang dari kawasan banjir yang dilawati.
Sukarelawan ke Negeri Pahang dan Kelantan ini turut dibekalkan alat-alat kerja pembersihan seperti cangkul skop, ‘water jet’, ‘generator’ dan sebagainya
Tidak pernah menaikkan cukai tanah
Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah menaikkan cukai tanah, namun beroleh pendapatan negeri melebihi sasaran yang ditetapkan.
Prestasi kewangan negeri berakhir 31 Disember 2014 ialah RM371.814 juta berlebih berbanding RM354.77 juta yang berakhir 31 Disember 2013.
Pertumbuhan ini amat baik dan memberangsangkan kerana Kerajaan Negeri beroleh pendapatan melalui Hasil Bukan Cukai terutamanya melalui kutipan premium tanah kemasukan pelabur ke negeri ini.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Laporan Kewangan Negeri menyatakan bahawa pendapatan Hasil Cukai Negeri Sembilan sejak 2013 – 2014 berjumlah RM119 juta setiap tahun.
Beliau menjelaskan perkara ini di sidang media mingguan di Wisma Negeri, Seremban, semalam.
Laporan Kewangan Negeri 2014 tutup dengan pencapaian dan lebihan (surplus) sebanyak RM79.808 juta.
Namun begitu, walaupun keadaan ekonomi negeri ini stabil, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menempuhi ekonomi dunia yang tidak menentu di mana harga minyak dunia yang sedang merudum ketika ini.
Keadaan ini baik tetapi dalam masa sama, kerajaan bakal kehilangan banyak sumber hasil/royalti dalam bentuk cukai dan dividen yang di bayar terutamanya oleh Petronas dan sebagainya.
Menteri Besar menjelaskan, di dalam keadaan krisis ekonomi ini kerajaan tidak boleh berasa selesa dengan membiarkan ianya diurus secara ‘auto pilot’, kerajaan perlu mengambil alih sterring wheels dan menguruskannya hari demi hari.
Situasi ketika ini tidak memungkinkan kerajaan merancang pelan pembangunan dalam jangka masa panjang dan paling penting kesejahteraan rakyat diutamakan.
Monday, 5 January 2015
Kekeliruan Dan Kurang Kefahaman Yang Berpunca Daripada Salah Tafsiran
SEREMBAN – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yakin pemahaman yang betul terhadap konsep jihad betul mampu menjadikan seseorang itu lebih serius melaksanakan tuntutan Islam dalam segala aspek kehidupan.
Titah baginda, umat Islam perlu memahami nilai dan ajaran sebenar agama Islam agar tidak mudah dipesongkan oleh anasir negatif yang menyalahgunakan istilah jihad secara tidak betul sebagai jalan pintas ke syurga.
Tambah baginda, kekeliruan dan kurang kefahaman yang berpunca daripada salah tafsiran ini pasti mencetuskan masalah berkaitan kestabilan dan keselamatan negara.
“Ketika ini terdapat penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan tertentu seperti kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) atau kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang menyalahgunakan istilah jihad sebagai alasan untuk mewajarkan mereka melakukan keganasan, termasuk ke atas umat Islam sendiri.
“Justeru, penyertaan mereka untuk menganggotai kumpulan tersebut yang bertopengkan kepada gerakan Islam seharusnya ditangani kerana ternyata perbuatan ganas seperti membunuh orang awam dan memancung kepala tebusan bukanlah ajaran yang terkandung di dalam Islam,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah demikian dalam majlis sambutan Maulidur Rasul 1436H peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).
Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Baginda berdua diiringi Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Awaludin Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.
Tambah Tuanku Muhriz, penyelewengan kepada tafsiran jihad mampu menjadi ancaman selain menyemarakkan lagi Islamophobia dikalangan masyarakat bukan Islam menerusi label pengganas pada umat Islam.
Justerus baginda menyeru agar semua pihak berganding bahu untuk memastikan idealogi tersebut dicantas bagi membendung mereka terpengaruh dengan kecelaruan prinsip jihad yang kini menjadi propaganda utama anasir tersebut.
“Hiduplah dengan bersatu padu dalam keadaan yang harmoni bagi memastikan negeri dan negara ini terus cemerlang dan menjadi model kepada sebuah negara majmuk yang unggul.
“Jadilah insan bertanggungjawab serta elakkanlah persengketaan yang boleh menghancurkan negara bangsa yang diwujudkan atas dasar persefahaman di antara masyarakat yang berbilang kaum,” titah baginda.
Subscribe to:
Posts (Atom)