Friday, 23 December 2011

Seramai 1,707 daripada 18,117 calon sekolah kerajaan di negeri ini memperoleh A dalam semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.





SEREMBAN 22 Dis.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri (JPNS), Pkharuddin Ghazali memberitahu, dari jumlah berkenaan seramai 296 calon mendapat 9A, 1,192 mendapat 8A manakala selebihnya memperoleh 7A.

Katanya, jumlah itu memperlihatkan peningkatan 9.4 peratus iaitu sebanyak 220 pelajar berbanding pada 2010 iaitu seramai 1,487 pelajar.

“Gred Purata Negeri (GPN) bagi PMR di Negeri Sembilan ialah 2.66 berbanding 2.70 peratus pada 2010. Gred Purata Nasional ialah 2.71 peratus,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pkharuddin menjelaskan, pelajar dari calon sekolah kerajaan yang mencapai tahap penguasaan minimum iaitu D bagi semua mata pelajaran meningkat kepada seramai 12,566 pelajar berbanding tahun sebelumnya 11,991 pelajar.

“Prestasi cemerlang semua A bagi pelajar sekolah kawasan bandar dan sekolah luar bandar tahun ini juga meningkat, masing-masing naik 14 peratus dan 5.9 peratus.

“Sekolah di bandar tahun ini yang mendapat semua A adalah seramai 1,102 pelajar manakala sekolah luar bandar seramai 605,” jelasnya.

Pkharuddin turut memberitahu, sebanyak 10 mata pelajaran daripada 15 yang ditawarkan menunjukkan peningkatan peratusan pencapaian pada tahun ini.

Antara mata pelajaran itu katanya, ialah Bahasa Punjabi, Kemahiran Hidup Bersepadu Perdagangan dan Keusahawanan, Kemahiran Hidup Bersepadu Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Hidup Kemahiran Teknikal dan Kemahiran Hidup Pertanian.

“Turut meningkat ialah Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Sejarah, Sains dan Matematik,” kata beliau.

Thursday, 8 December 2011

SIRI LAWATAN KERJA SEHARI Y.A.B MBN9 KE JEMPOL


MASALAH AIR DI DAERAH JEMPOL DI ATASI



Majlis Pelaksanaan Kerja-Kerja Naik Taraf Loji Rawatan Air Jempol berlangsung di Perkarangan Loji Rawatan Air Jempol, (LRA Jempol) pada 6 Desimber dan dirasmikan oleh Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, menteri besar Negeri Sembilan.


Operasi Loji Rawatan Air Jempol yang bermula pada tahun 1978  di naik taraf pembekalannya, setelah Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd.  (SAINS) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bekerjasama di dalam usaha ini bagi mempertingkatkan bekalan air terawat dari 8 juta galen sehari kepada keupayaan 12 juta galen sehari



MASALAH  TEKANAN AIR  RENDAH TAMAN MEGAH, JEMPOL  SELESAI


Setelah  dibelengu masalah air kerap tidak samapai kekediaman, penduduk yang tinggal di kawasan tinggi Taman Megah, Jempol kini lega dengan pembinaan ‘Rumah Pam dan Sedutan Air’ dikawasan penempatan mereka.





Dalam siri ‘Lawatan Kerja’ ke Daerah Jempol pada 6 Disember lepas, Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkesempatan untuk melihat dan mendengar taklimat mengenai fungsi sistem operasi ‘injap penggalak tekanan’ yang terdapat di rumah pam  dan sedutan air disamping bertemu dan beramah mesra dengan penduduk yang hadir.

LAWATAN KE RUMAH PAM DAN SEDUTAN AIR DI PALONG 7


Siri ‘Lawatan Kerja’ Menteri Besar Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan ke Daerah Jempol juga singggah ke lokasi pembinaan Rumah Pam dan Sedutan Air Felda Palong 7.


Menteri Besar melihat sendiri keberkesanan operasi injap kawalan tekanan yang terdapat dirumah pam ini berjaya membekalkan air kepenempatan tinggi dikawasan felda tersebut.



Menteri Besar sempat beramah mesra dgn penduduk sekitar Palong 7


MAJLIS PENYERAHAN HAKMILIK (GERAN TANAH) FELDA PALONG 8


Lawatan Kerja Menteri Besar ke Daerah Jempol pada 6 Desimber lalu diakhiri dengan ‘ Majlis Penyerahan Hakmilik ( Geran Tanah) kepada peneroka Felda Palong 8. Majlis telah di adakan  di Dewan Serbaguna Felda Palong 8.


Seramai 660 orang peneroka ceria apabila Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan sendiri menyerahkan sijil hakmilik tanah mereka di majlis berlangsung di Dewan Felda Palong 8 yang dipenuhi oleh warga felda hingga melimpahi kekawasan khemah disebelah luar.


Peneroka Felda Palong 8 terdiri dari 610 orang peneroka Melayu, 47 orang India dan 3 peneroka  Cina menjadikan felda ini begitu harmoni dengan kelompok masyarakat pelbagai bangsa bersama-sama mengusahakan ladang getah.


Dalam ucapannya, Menteri Besar mengucapkan tahniah diatas kejayaan semua peneroka yang berusaha gigih sehingga hari ini, juga betapa pentingnya untuk bersyukur dalam menikmati kesenangan serta kemajuan yang dicapai.


BERAMAH MESRA DENGAN WARGA PENEROKA


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Mohamad Haji Hasan berkesempatan bertemu dan beramah mesra bersama warga Felda Palong 8 dan sekitarnya selepas berakhir  majlis penyerahan hak milik geran tanah di Dewan Felda Palong 8 pada 6 Disember lepas.


Menteri Besar begitu santai berbual mesra bertanya khabar para penduduk dan peniaga berhampiran sambil mendengar permasalahan yang dihadapi.


Warga Felda juga mengambil peluang bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar serta merakamkan gambar kenang-kenangan.






Jelas terlihat hubungan silaturahim yang terjalin antara pemimpin dan masyarakat  sentiasa menjadi amalan kepada kepemimpinan kerajaan negeri  ini menjadi  formula berkesan memenanagi hati rakyat.








Agihan zakat asnaf mualaf ditambah




SEREMBAN 6 Dis. - Baitulmal negeri ini akan menambah peruntukan untuk asnaf mualaf dalam pengagihan zakat pada tahun depan sebagai usaha memantapkan kehidupan saudara baru.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penambahan peruntukan itu akan digunakan dalam program yang menjurus kepada pemantapan akidah saudara baru seperti penganjuran seminar dan kursus.

"Melalui usaha seperti ini, kita harap tidak ada lagi kes-kes saudara baru tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) di sini semalam.

Pada majlis itu, Maybank Islamic menyerahkan zakat perniagaan untuk negeri itu bagi tahun ini sebanyak RM600,000.
Ia disampaikan oleh Pengerusi Maybank Islamic, Datuk Seri Ismail Shahudin kepada Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menurutnya, peruntukan itu juga akan digunakan bagi memantapkan akidah saudara baru di kalangan Orang Asli yang tinggal di 68 perkampungan di negeri ini.

Katanya, daripada kira-kira 10,000 Orang Asli di negeri itu, separuh daripadanya telah memeluk Islam.
"Hasrat kita adalah supaya semua kampung Orang Asli itu mempunyai surau yang akan diuruskan oleh seorang imam atau penggalak agama Islam.

"Bagi mencapai tujuan itu, Jabatan Agama Islam negeri telah melatih ramai anak-anak kampung Orang Asli sebagai imam atau penggalak agama Islam yang akan ditempatkan di surau tersebut dan menerima gaji daripada MAINS," ujarnya.

Mohamad menarik perhatian, kerajaan negeri mahu melihat peningkatan dalam kehidupan Orang Asli selepas mereka memeluk Islam.

Beliau berkata, lonjakan dalam taraf hidup mereka akan mencerminkan kelebihan yang dinikmati apabila memeluk Islam.

Thursday, 1 December 2011

NEGERI SEMBILAN BENAM KELANTAN DALAM PERLAWANAN PERSAHABATAN



PAROI – Negeri Sembilan menewaskan Pasukan Kelantan 3-1 dalam perlawanan persahabatan bolasepak di Stadium Tuanku Jaafar, Paroi pada 29 November 2011 yg lepas.

Perlawanan yang lebih kepada medan kedua-dua pasukan menguji para pemain baru dan import untuk persiapan Liga Super tahun depan ini agak perlahan pada babak pertama disebabkan padang basah akibat hujan lebat pada sebelah petang.


Seawal babak kedua perlawanan, Negeri Sembilan mendapat jaringan pertama melalui pemain import dari Cameroon, Jean Emmananual Effa Owona pada minit ke - 47 dan perlawanan menjadi rancak apabila Kelantan membuat serangan bertubi-tubi untuk menyamakan kedudukan.

Pemain berpengalaman, Idris Karim tidak mensia-siakan pengalaman didepan gawang apabila menjaringkan gol kedua untuk pasukan Negeri Sembilan mendahului 2-0 pada minit ke – 63.


Berpunca dari kesilapan pemain Negeri Sembilan, pemain import pasukan Kelantan Denis Alwi berjaya merapatkan jurang gol dengan gol mudah menjadikan kedudukan 2-1 sebelum S.Kunanlan melengkapkan kemenangan Negeri Sembilan 3-1 dengan rembatan cantik menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Shazwan Yussof.


Menteri Besar yang ditemui oleh pihak media selepas perlawanan ternyata gembira dengan persembahan yang ditunjukkan terutama kepada dua pemain import dari Cameroon dibahagian serangan dan juga dari Brazil, Marquen  Ferreira di bahagian pertahanan.
Katanya, “ dengan tempoh yang semakin singkat, maka hampir pasti kedua-dua pemain ini menjadi pilihan untuk dipilih menyarung jersi Negeri Sembilan pada saingan Liga Super nanti.”

Menurutnya lagi, para pemain akan dibawa bercuti ke Australia disamping mengadakan beberapa perlawanan persahabatan disana dan keputusan muktamad pemain yang terpilih akan dibuat oleh pihak persatuan selepas mereka pulang kelak dan seterusnya majlis sain kontrak para pemain yang bakal mewakili pasukan Negeri Sembilan akan dibuat.